Pemenang kempen BIBD terima hadiah $25,000

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Sepuluh orang lagi pemenang bulanan Kempen Ganjaran Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) Aspirasi telah menerima hadiah berjumlah $25,000 keseluruhannya, hari ini.

Pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat BIBD di ibu negara, hari ini, setiap pemenang bagi bulan Julai berkenaan menerima $2,500 yang telah disampaikan oleh Ketua Pengurusan Produk, Kumpulan Perbankan Runcit, Andy Yong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, cabutan bulanan terbaharu itu membawa jumlah pemenang kepada 86 orang setakat ini dengan hadiah wang tunai yang diberikan berjumlah $350,000 sejak pelancaran program tersebut.

Kenyataan menyatakan, Program Ganjaran BIBD Aspirasi adalah unik kerana ia bukan sahaja tidak mempunyai tarikh tutup dan pelanggan masih layak memenangi mana-mana hadiah termasuk hadiah utama berupa wang tunai $250,000, selagi mereka mengekalkan penyertaan dengan menyimpan dalam BIBD Aspirasi.

Selain kemenangan bulanan, pelanggan juga layak memenangi hadiah suku tahunan iaitu wang tunai $25,000.

Tarikh bagi cabutan para pemenang akan diumumkan menerusi rangkaian rasmi BIBD dan pelanggan yang mengekalkan akaun BIBD Aspirasi bagi minimum 90 hari sehingga tarikh cabutan akan berpeluang memenangi hadiah bulanan dan suku tahunan. Pusingan cabutan seterusnya bagi pemenang bulanan adalah Ogos depan.

Mereka yang melanggan sejak pelancaran program sehingga penghujung Jun masih berpeluang memenangi hadiah bulanan, suku tahunan dan hadiah utama.

Para pemenang bulanan Kempen Ganjaran BIBD Aspirasi bergambar ramai selepas menerima hadiah, kelmarin.