Pemenang musabaqah Al-Quran dirai

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Haji Junaidi bin Haji Duhai, Haji Abdullah bin Haji Suhaili dan Haji Harris bin Haji Akel muncul johan dalam Kategori A, B dan C Musabaqah Al-Quran secara maya anjuran Kumpulan Tadarus Subuh Al-Quran hari ini.

Seramai 25 orang ahli menyertai pertandingan dan mendengarkan bacaan mereka. Ia merupakan kesinambungan pembelajaran menghaluskan pembacaan dan mempertingkatkan kualiti bacaan Al-Quran dalam kalangan ahli kumpulan tersebut.

Pemenang tempat kedua dan ketiga bagi kategori masing-masing termasuklah, Haji Marzuke Iskandar bin Dato Paduka Haji Mohammad, Awang Samle bin Haji Jaih, Haji Sapar bin Haji Musa, Haji Alidin bin Haji Ahmad dan Haji Tuah bin Haji Metassim serta Pengiran Haji Othman bin Pengiran Haji Ismail.

Penasihat pertandingan, Dato Paduka Haji Mohammad bin Haji Serudin melahirkan rasa gembira atas semangat tinggi para peserta yang berusaha untuk meningkatkan tahap kefahaman dalam semua aspek pembacaan Al-Quran.

Pertandingan diungkayahkan selepas ahli kumpulan banyak menghabiskan masa bertadarus selepas solat Fardu Subuh secara maya ketika negara gigih mengekang penularan wabak COVID-19.

Menurut Dato Paduka Haji Mohammad, pertandingan merupakan perintis dan pembuka penampilan setiap pembaca baharu untuk menimba pengalaman membiasakan diri membaca Al-Quran di khalayak ramai.

Beliau seterusnya melahirkan harapan supaya usaha murni itu perlu diteruskan kerana keberkatan Al-Quran akan memberi rahmat di dunia dan syafaat di akhirat nanti.

Sementara itu, pembimbing tadarus, Haji Anuar bin Penghulu Haji Ibrahim mengakui usaha untuk meningkatkan pengetahuan membaca Al-Quran secara maya menjadi cabaran dan norma baharu kepada semua peserta terutama penggunaan aplikasi teknologi serba canggih.

Namun dengan semangat tinggi, majlis bertadarus Al-Quran telah dapat berlangsung setiap hari selepas subuh dan sebelum ini dan mereka juga telah berjaya mengadakan majlis khatam Al-Quran dalam talian dua kali, jelasnya.

Dato Paduka Haji Mohammad bersama pemenang Musabaqah Al-Quran yang diraikan kelmarin.