DHAKA, 10 OKT – Pakar ekonomi Bangladesh dan pemenang Hadiah Nobel Muhammad Yunus telah dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir dalam perbicaraan kes pemecatan pekerja di sebuah syarikat yang diketuainya satu ketika dahulu, kata pegawai hari ini.
Seorang hakim di sebuah mahkamah di Dhaka mengeluarkan perintah itu pada Rabu ketika pekerja yang dipecat dari Grameen Communications (GC) membuat aduan mengatakan bahawa mereka dipecat kerana menubuhkan kesatuan sekerja, kata kerani mahkamah M Nuruzzaman kepada AFP.
Yunus, pengerusi GC, tidak menghadiri pendengaran kesnya kerana berada di luar negara. Ketua pegawai eksekutif dan seorang pengurus kanan di syarikat itu hadir di mahkamah dan mendapatkan jaminan, Nuruzzaman berkata.
“Dia (Yunus) meninggalkan Bangladesh sebelum menerima sebarang saman untuk hadir di mahkamah. Sebaik sahaja dia kembali, langkah undang-undang yang bersesuaian akan diambil,” kata peguam Yunus Kazi Ershadul Alam kepada AFP.
Bekas profesor ekonomi berusia 79 tahun yang mengasaskan pemberi pinjaman mikro, Grameen Bank, bertentangan pendapat dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina sejak 2007 ketika menceburi politik buat seketika.
Pada 2011, beliau dipecat sebagai ketua Grameen Bank, dalam langkah yang dipercayai telah dirancang oleh Hasina. Dia mencabar pemecatannya di mahkamah tertinggi tetapi tewas.
Yunus menubuhkan Grameen Bank pada 1983 untuk menyediakan pinjaman mikro tanpa jaminan kepada berjuta-juta usahawan luar bandar. Bank itu kini dikendalikan oleh pengurus yang dilantik oleh Hasina. – AFP

































