Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Keputusan Peraduan Syarahan Melayu Islam Beraja Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta telah diumumkan hari ini pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Auditorium I, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnanin bin Haji Hanafi.
Pada majlis itu, keputusan peraduan telah diumumkan oleh Pengerusi Hakim, Awang Isham bin Ismail.
Dalam kategori A bagi Institusi Pengajian Tinggi (17 hingga 25 tahun), Dayang Siti Nurul Afidah binti Hai Zaidin muncul johan dan membawa pulang wang tunai $800 berserta piala, naib johan pula disandang oleh Awang Muhammad Ibaal Syakib bin Haji Suhib yang memenangi $600 berserta piala manakala itu, tempat ketiga dimenangi oleh Awang Mazfazillah bin Maikal yang menerima $400 berserta piala.
Juara Kategori B bagi IBTE/Sekolah Menengah (12 hingga 20 tahun) pula disandang oleh Awang Muhammad Firdaus bin Sait diikuti oleh Awang Mohammad Najihuddin bin Nooralizam selaku naib johan dan Dayang Halimatus Rabeatul binti Huzaimi di tempat ketiga.
Manakala itu, Kategori C bagi Orang Awam (25 tahun ke atas), johan disandang oleh Dayang Norfadizlina binti Haji Abdul Rahman, diikuti oleh Haji Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang di tempat kedua dan Dayang Siti Al-Asmah binti Haji Rosli di tempat ketiga.
Dalam kategori B dan C, setiap juara menerima wang tunai $600, naib johan $400 dan tempat ketiga memenangi $200 dengan masing-masing berserta piala.


Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Mohd Ali diikuti dengan ucapan alu-aluan Pemangku Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku pengerusi peraduan.
Peraduan berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerja Pemberigaan Melayu Islam Beraja di bawah Jawatankuasa Sektoral Media, Publisiti dan Percetakan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Turut hadir di majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusof selaku pengerusi Jawatankuasa Kerja Pemberigaan Melayu Islam Beraja Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.
Antara jemputan-jemputan khas yang hadir ialah Pemangku Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Adnan bin Haji Basar, Pengarah Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Pengarah Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi dan Pengarah Urusan Insurans Islam TAIB, Awang Osman bin Haji Jair, selaku penaja. Turut hadir, para pengarah dan pegawai-pegawai kanan di KHEU, pengetua-pengetua sekolah, pegawai serta kakitangan PDI dan penuntut-penuntut sekolah.