Tuesday, October 8, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang perarakan Maulidur Rasul terima hadiah

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi Tahun 1439 Hijrah petang tadi telah diadakan di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Keputusan pertandingan telah diumumkan oleh Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, selaku pengerusi bersama Jemaah Hakim Pertandingan Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W Peringkat Negara Bagi Tahun 1439 Hijrah.

    Sebanyak lima kategori dipertandingkan pada tahun ini iaitu Kategori Sekolah Menengah/Arab/Maktab/Institusi Pengajian Tinggi/Swasta, Kategori Kementerian dan Jabatan Kerajaan, Kategori Persatuan, NGO dan Sektor Swasta, Kategori Kampung dan Masjid dan Kategori Hadiah Khas.

    Juara Kategori Sekolah Menengah/Arab/Maktab/Institusi Pengajian Tinggi/Swasta ialah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB). Tempat kedua pula dimenangi oleh Institut Pendidikan Teknikal Brunei (Sekolah Pusat) dan tempat ketiga ialah Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

    Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika hadir pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhamad S.A.W bagi Tahun 1438 Hijrah, kelmarin.
    Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan hadiah juara Kategori Sekolah Menengah/Arab/Maktab/Institut Pengajian Tinggi/Swasta kepada KUPU SB.
    Tetamu kehormat menyampaikan hadiah juara Kategori Kementerian dan Jabatan Kerajaan kepada Kementerian Pembangunan.
    Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada juara dalam Kategori Kampung dan Takmir Masjid iaitu Kumpulan Ukhwah Kejiranan Al-Barakah RPN Meragang.
    Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada juara Kategori Persatuan, NGO dan Sektor Swasta, PERMAI (Persatuan Masyarakat Indonesia).
    Antara yang hadir semasa majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Bangunan Tambahan, KHEU.

    Johan kategori tersebut membawa pulang wang tunai berjumlah $6,500, hadiah iringan serta sijil penyertaan.

    Dalam Kategori Kementerian dan Jabatan Kerajaan, juaranya ialah Kementerian Pembangunan, sementara Kementerian Pertahanan (Awam) dan Jabatan Perdana Menteri masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

    Johan Kategori Kementerian dan Jabatan Kerajaan pula menerima wang tunai berjumlah $4,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

    Menjuarai Kategori Persatuan, NGO dan Sektor Swasta pula ialah Persatuan Masyarakat Indonesia (PERMAI), Telekom Brunei (TelBru) di tempat kedua dan Pertubuhan Zaidana di tempat ketiga. Juara kategori tersebut menerima wang tunai $2,500, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

    Manakala Kategori Kampung dan Masjid yang membawa pulang piala iringan dan sijil penyertaan serta wang tunai berjumlah $4,000 dimenangi oleh Kumpulan Ukhwah Kejiranan Al-Barakah Rancangan Perumahan Negara Meragang.

    Tempat kedua jatuh kepada Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Kumpulan Belia Masjid Kampung Perpindahan Serasa Muara dan tempat ketiga ialah Saudaraku Kampung Setia.

    Pemenang Kategori Khas pula ialah Institut Pendidikan Teknikal Brunei (Sekolah Pusat), Kementerian Pembangunan, Pertubuhan Zaidana dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Kumpulan Belia Masjid Kampung Perpindahan Serasa Muara mengikut kategori masing-masing. Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Seruddin bin Haji Timbang; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Haji Mohammad Amirul Shahnoel bin Haji Mohammad Noeh; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Ajman bin Haji Meludin dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

    Tahun ini, perhimpunan dan perarakan sempena Maulud Nabi Muhammad S.A.W telah disertai oleh 126 pasukan dengan keramaian 12,810 orang peserta mengikut kategori masing-masing dengan jarak perarakan sejauh 3.7 kilometer.

    Keramaian jumlah peserta terdiri daripada pasukan tidak bernombor seramai 3,914 (13 pasukan), Sekolah Menengah/Arab/Maktab/Institusi Pengajian Tinggi/Swasta seramai 2,351 (30 pasukan), kementerian dan jabatan kerajaan pula seramai 1,840 (16 pasukan), persatuan, NGO dan sektor swasta berjumlah 2,260 (27 pasukan) dan dari kampung dan masjid berjumlah 2,145 (29 pasukan).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda