Sunday, December 10, 2023
28.8 C
Brunei

    -

    Pemenang pertandingan fotografi Borneo Bulletin dirai

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Para pemenang Pertandingan Fotografi Borneo Bulletin anjuran Brunei Press Sdn Bhd telah menerima hadiah masing-masing pada majlis yang diadakan di Hotel Radisson, hari ini.

    Lima kategori telah dipertandingkan iaitu ‘Orang & Budaya’; ‘Tempat & Mercu Tanda’; ‘Makanan & Gaya Hidup’; ‘Tenaga & Industri’ dan ‘Kecergasan & Sukan’.

    Awang Abdul Malik bin Haji Abdul Razak diumumkan juara bagi kategori ‘Orang & Budaya’, tempat pertama bagi kategori ‘Tempat & Mercu Tanda’ dimenangi oleh Law Hieng Hing. Juara bagi kategori ‘Makanan & Gaya Hidup’ disandang oleh Liew Chee Shang, sementara Wong Kiong menjuarai kategori ‘Kecergasan & Sukan’.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah utama kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsafelah.

    Sementara itu, Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Mohd Najmuddin bin Abdul Razak dalam ucapannya antara lain mengongsikan bahawa pertandingan fotografi itu mula diperkenalkan pada tahun 2016 untuk menyediakan platform kepada peminat fotografi di Brunei untuk menyerlahkan kreativiti dan kemahiran mereka.

    Dr Siti Norkhalbi dan Mohd Najmuddin bergambar ramai bersama para pemenang pada majlis yang diadakan di Hotel Radisson, kelmarin.
    Wong Kiong semasa menjelaskan lebih mendalam mengenai fotografinya.

    “Ini adalah salah satu inisiatif oleh Brunei Press bersama penaja kami untuk mengiktiraf bakat yang ditawarkan oleh warga Brunei.

    “Jurugambar berbakat diberi peluang untuk merakam dan mempamerkan keindahan Brunei Darussalam, tempat dan mercu tandanya, orang dan budaya, makanan dan gaya hidup, tenaga dan industri, serta kecergasan dan sukan. Ini adalah kemuncak utama peraduan ini,” ujar beliau.

    Mohd Najmuddin turut menjelaskan bahawa para hakim mempunyai tugas yang sangat mencabar untuk memilih pemenang di mana penyertaan yang menang dinilai berdasarkan kreativiti, kualiti gambar, kaitan dan mesej yang mereka ada kepada penonton.

    Hadiah termasuk kamera Canon EOS M200, BMW Cruise Bike, akaun simpanan Bank Baiduri, pelan mudah alih pascabayar imagine, Mesin Kopi CBTL, baucar CBTL, baucar Intracorp dan baucar McDonald’s. Hadiah-hadiah telah ditaja oleh Syarikat Interhouse, Bank Baiduri, QAF Auto Sdn Bhd, imagine Sdn Bhd, Makan Ceria, The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) dan Intracorp.

    Penyertaan teratas telah dipamerkan di Hotel Radisson semasa majlis penyampaian hadiah dan Dr Siti Norkhalbi turut dibawa melawat ke galeri oleh Mohd Najmuddin.

    Semasa ditemui Media Permata, Awang Abdul Malik menjelaskan bahawa penyertaan yang dimenanginya itu menggambarkan adat resam dan pakaian tradisional Brunei dan beliau mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam untuk merakam pergerakan yang sempurna dan warna yang berbeza, menarik dan berani dalam gambar dengan mod pengatup perlahan.

    Sementara Wong Kiong mengongsikan bahawa fotonya adalah seorang pakar menunggang basikal gunung, pada waktu malam di Sungai Liang, Daerah Belait, yang jarang dirakam kerana ia hanya berlaku pada bulan Ramadan di mana penunggang menjalankan aktiviti selepas berbuka puasa dan solat Terawih.

    Manakala Awang Bahrin pula menjelaskan bahawa gambar yang diambilnya adalah pembuat parang dari Daerah Tutong menggunakan mesin grinder sebagai sebahagian daripada proses pembuatan.

    “Percikan api yang ditunjukkan menggunakan grinder, sambil dia (pembuat parang) fokus pada kerjanya untuk memastikan ia dibina dengan sempurna menunjukkan keunikan foto itu.”

    Lebih daripada 800 penyertaan telah diterima termasuk secara dalam talian bagi Pertandingan Fotografi Borneo Bulletin untuk merebut peluang memenangi hadiah bernilai $16,000 keseluruhannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    India larang eksport bawang

    NEW DELHI, 8 DIS – India melarang eksport bawang sehingga Mac tahun depan bagi meningkatkan bekalan domestik selain membendung inflasi pengguna. Kerajaan memutuskan untuk memindahkan...