Pemenang pertandingan mewarna terima hadiah

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 April – Gedung Perniagaan Hua Ho, baru-baru ini, telah menganjurkan pertandingan mewarna di Pusat Membeli-Belah One City, yang menerima sambutan menggalakkan dengan lebih daripada 200 penyertaan.

Pertandingan yang berlangsung pada 31 Mac lalu itu dibahagikan kepada dua kumpulan usia iaitu lima hingga lapan tahun dan sembilan hingga 12 tahun. Menurut kenyataan yang diberikan, Kumpulan A menyaksikan Dayang Allisya Nabilah memenangi tempat pertama manakala itu, Danielle Anne Lim Baera di tempat kedua dan Dayang Nur Haziqah Hazirah di tempat ketiga.

Bagi Kumpulan B, tempat pertama dimenangi oleh Elysia Lim Pei Ying diikuti oleh Dayang Nur Anisah binti Haji Dollah dan Isaac Tiong Ing Hoe masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Pemenang pertama bagi kedua-dua kumpulan menerima produk alat tulis bernilai $100, manakala itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima produk alat tulis $80 dan $50.

Selain itu, 10 pemenang sagu hati bagi Kumpulan A menerima produk alat tulis bernilai $10 dan $20 bagi Kumpulan B.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh pengurus-pengurus gedung perniagaan berkenaan, Angeleen Lau bagi Kumpulan A dan Doreen Lau bagi Kumpulan B.

Para pemenang ketika sesi bergambar ramai bersama hadiah masing-masing.