Wednesday, December 7, 2022
31.3 C
Brunei

-

Pemenang pertandingan RISE terima hadiah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Tiga pemenang Pertandingan Video Pendek Right Information Saves and Empowers (RISE) ASEAN telah menerima hadiah masing-masing pada majlis yang berlangsung di Jabatan Penerangan, kelmarin.

Tempat pertama disandang oleh Awang Muhammad Kasyfillah Thaqif @ Muhammad Zharfan bin Ahmad manakala itu, tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Awang Abdul Aziz bin Abdullah dan Awangku Ahmad Alfathullah bin Pengiran Haji Sellahhuddin.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya, juga selaku wakil Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penerangan, Komiti ASEAN mengenai Kebudayaan dan Penerangan (ASEAN-COCI). Beliau turut menyampaikan cenderamata kepada hakim-hakim pertandingan.

Para pemenang menerima wang tunai AS$1,500 bagi tempat pertama, AS$1,000 di tempat kedua dan AS$500 di tempat ketiga berserta plak, kain tenunan dan sijil.

Terdahulu, Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, pertandingan itu merupakan salah satu usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai infodemik dan maklumat palsu.

Video pendek bertemakan RISE ASEAN: Countering the Infodemic itu memaparkan bahaya berita dan maklumat palsu mengenai kesihatan dan keselamatan awam dan kepentingan maklumat yang betul dalam tindak balas ASEAN terhadap COVID, bagaimana ia membantu menyelamatkan nyawa dan memperkasakan penduduk di rantau ini untuk bangkit menentang kesan COVID.

Projek berkenaan merupakan salah satu projek di bawah Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI yang mana Filipina adalah negara penyelaras projek.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Penerangan, Sekretariat ASEAN-COCI, panel hakim, serta ibu bapa para peserta.

Hajah Hamsah bergambar bersama para pemenang pertandingan RISE ASEAN pada majlis yang diadakan di Jabatan Penerangan, baru-baru ini.
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Penghormatan buat Jiang Zemin

BEIJING, 6 DIS – Siren kedengaran di seluruh China hari ini ketika Parti Komunis mengadakan perkabungan bekas pemimpin, Jiang Zemin, memberi penghormatan kepadanya sebagai...
- Advertisment -