Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Sebaris pelakon wanita akan berada di atas pentas bagi membuat persembahan teater misteri pembunuhan bertajuk 8 Women pada 14 Februari ini, di Tarindak D’Seni, di ibu negara.
Persembahan teater tersebut berlatarbelakangkan suasana tahun 1950an Perancis yang mengisahkan mengenai lapan wanita daripada keluarga sama yang terasing di rumah semasa musim sejuk di mana setiap seorang mengesyaki yang lain membunuh tuan rumah.
Pementasan menceritakan bagaimana wanita-wanita berkenaan cuba mencari pembunuh sambil membongkar kebenaran tentang diri mereka dalam proses.
Setiap pelakon dan keperibadian watak yang mereka mainkan akan dipertingkatkan dengan pakaian yang dihasilkan oleh pereka Perancis yang berpangkalan di Kemboja, Eric Raisina, yang menghasilkan koleksi untuk pertunjukan teater bagi memberi inspirasi dan menghubungkan budaya.
Semasa sidang media yang berlangsung di D’Music Motion Fitness Studio, Kiarong, hari ini, Pengarah Drama 8 Women, Joanna Kwan mengongsikan bahawa ini merupakan pementasan arahan kali kedua baginya dan beliau sangat berbesar hati kerana telah diamanahkan
dengan peranan yang begitu besar.

“Ia adalah satu penghargaan yang besar untuk diamanahkan dengan mengarahkan drama misteri pembunuhan,” katanya.
Drama 8 Women asalnya ditulis oleh Robert Thomas pada 1958 dan ditayangkan oleh Francois Ozon pada 2002 yang mana ia mempunyai lapan muzik unik. Barisan pelakon yang kebanyakannya terdiri daripada pelakon amatur, diberikan latihan oleh jurulatih vokal dari Neo Classic Music School serta Charlotte Lim dari D’Music Motion Fitness Studio.
“Ini pengalaman pertama saya belajar dan mengkoreografi untuk persembahan Perancis,” kata Charlotte Lim ketika ditanya sama ada produksi tersebut berbeza daripada yang terdahulu.
Pementasan berkenaan merupakan projek kerjasama antara Alliance Francaise dan 247 Studios sebagai salah satu acara dan kegiatan Francophonie 2020, yang dimulakan oleh pementasan tersebut dan akan berlangsung hingga 20 Mac.
Bagi Francophonie 2020, Alliance Francaise Brunei Darussalam dengan sokongan Kedutaan Perancis di Brunei Darussalam ingin menekankan, khususnya, pada kerjasama budaya dan seni antara Brunei dan Perancis. Pementasan berkenaan turut ditaja dan disokong oleh Bank Baiduri, Kedutaan Belgium di Singapura dengan Wallonia Export & Investment Agency AWEX, Total Company, dan Thompson Furniture serta D’Music Motion Fitness Studio dan Sekolah Muzik Neo Classic.




























