Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pementasan drama variasi bahasa

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Pelajar-pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang mengambil modul Variasi Bahasa, petang tadi, telah mengadakan Pementasan Drama Modul Variasi Bahasa AB-1404 yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Bangunan Hal Ehwal Pelajar, UBD.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Naib Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar, Awang Mohd Zulfitri bin Zalani yang juga selaku pengerusi majlis berkenaan.

    Pementasan Drama Variasi Bahasa berkenaan merupakan sebahagian daripada kerja kursus yang diwajibkan bagi mahasiswa dan mahasiswi yang mendaftar Modul AB- 1404 Variasi Bahasa, sekali gus mengetengahkan aspek praktikal di samping pengetahuan teoretikal mengenai variasi bahasa.

    Drama pementasan yang mengetengahkan pelbagai tema itu menyelitkan berbagai-bagai bentuk variasi bahasa daripada Bahasa Melayu Standard, Dialek Melayu Brunei, dialek-dialek etnik dan setempat, sehinggalah bahasa asing seperti Bahasa Inggeris turut digunakan.

    Antara para pelajar yang membuat persembahan drama.
    Antara para pelajar yang membuat persembahan drama.
    Awang Mohd Zulfitri ketika memberi ucapan pada pementasan drama berkenaan.
    Awang Mohd Zulfitri ketika memberi ucapan pada pementasan drama berkenaan.

    Pementasan telah dibahagikan kepada empat jenis drama persembahan yang dilakukan oleh empat buah kumpulan dengan tajuk ‘Kepelbagaian Bahasa dalam Kehidupan Seharian’, ‘Tragedi di Lapangan Terbang’, ‘Kurapak Biak Bedeng’ dan juga ‘Kes Langgar Lari: Cemburu Edisi Bakso’.

    Modul AB-1404 Variasi Bahasa merupakan salah satu modul yang ditawarkan oleh Program Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD.

    Ia antara lain bertujuan untuk mendedahkan dan meningkatkan pengetahuan dan kepekaan mahasiswa-mahasiswi terhadap pelbagai isu dan aspek sosial yang berkaitan dengan penggunaan variasi bahasa di Negara Brunei Darussalam.

    Modul berkenaan dikendalikan oleh Pensyarah UBD, Dr. Hajah Dayang Fatimah binti Haji Awang Chuchu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda