Pemergian pengasas Dnars kehilangan besar

KOTA BHARU, 19 Mei – Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) menyifatkan pemergian pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad yang maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Pattani Thailand, semalam sebagai kehilangan besar kepada industri produk halal di Malaysia.

Yang Dipertua PPIK Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berharap usaha yang dilakukan oleh Allayarhamah itu dapat diteruskan oleh pewarisnya bagi membangun industri produk halal Malaysia.

Dalam kejadian semalam Faziani Rohban maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala suaminya, Shah Rizal Ibrahim, 42, hanya cedera ringan.

Mohd Fared berkata beliau dan PPIK menyifatkan Allayarhamah seorang wanita yang sabar dan berdedikasi dalam kerjanya walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

“Allaharyamah telah berjaya menaikkan martabat produk muslim dan seorang usahawan yang disenangi oleh masyarakat. Salam takziah buat keluarga dan semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat,” katanya kepada Bernama.

Jenazah allaharyamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit Luar dekat Wakaf Bharu, di sini, kira-kira pukul 10 malam semalam.

Sementara itu, Ahmad Shah Rizal ketika ditemui memberitahu beliau dan isterinya bertolak ke Hatyai kerana ada urusan yang mahu dilakukan oleh arwah.

“Ketika kejadian arwah tertidur di sebelah saya. Dalam perjalanan saya hanya tersedar apabila isteri terkejut dan dalam beberapa saat menyedari sudah berlaku kemalangan,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian mereka suami isteri dalam perjalanan menyerahkan wang zakat ke salah sebuah sekolah pondok di kawasan berkenaan. – Bernama