ANKARA – Emin Yogurtcuoglu, seorang warga Turki yang mengisytiharkan dirinya sebagai ‘detektif burung’, sentiasa mencari spesies burung baharu di seluruh dunia, dan dia mahu melakukan lawatan seterusnya ke China, tanah yang mempunyai banyak spesies dan rumah kepada hidupan liar yang banyak.
Memulakan pemerhatian burung pada usia 12 tahun, pemerhati burung berusia 35 tahun itu telah mengembara ke hampir setiap wilayah di Turki, dan menjadi terkenal di negaranya dan di luar negara di media sosial melalui gambar yang diambilnya semasa pengembaraannya.
“Antara semua haiwan, burung adalah yang paling mudah diakses. Ia paling dekat dengan manusia. Burung penuh warna, mereka boleh terbang, berubah negara dan berhijrah,” katanya kepada Xinhua dalam temu bual di tepi Tasik Mogan, terletak 20 km dari ibu negara Turki, Ankara.
“Awda boleh melihat beratus-ratus, beribu-ribu spesies burung yang berbeza di seluruh pelosok dunia. Haiwan itu mendorong saya untuk mengembara ke zon berbeza di dunia,” kata lelaki itu.
Di luar Turki, Yogurtcuoglu telah menjejakkan kaki tidak kurang daripada enam daripada tujuh benua di dunia, termasuk Antartika, dan melihat 40 peratus daripada 10,000 spesies burung yang diketahui wujud di planet ini. Pakar hidupan liar itu kini ingin pergi ke China.
“Saya telah mengkaji secara meluas populasi burung China, dan terdapat lebih 1,300 spesies dan saya ingin pergi ke sana, terutamanya wilayah Sichuan dan Yunnan yang mempunyai spesies endemik,” katanya.
Yogurtcuoglu memuji desakan China untuk pemuliharaan haiwan dan penyelidikan saintifik.
“Apabila saya pergi ke China, saya ingin belajar mengenai isu ini daripada rakan sejawatan saya dan melihat apa pengajaran yang boleh kita sampaikan kepada negara saya. China telah melakukan usaha yang sangat serius dalam perlindungan hidupan liar. Mereka membuat kajian (saintifik) yang banyak tentang populasi burung,” katanya. – Xinhua