Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Pemeriksaan berkala bantu kesan awal kanser payudara

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BELAIT, 23 OKT – Seramai 56 wanita terdiri daripada pegawai kerajaan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan guru-guru institusi pengajian tinggi sekitar Daerah Belait telah menghadiri forum bertajuk Think Pink Take Action: A Conversation On Breast Cancer anjuran Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) di Makmal Tenaga Seria, kelmarin.

    Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, forum tersebut merupakan salah satu aktiviti kempen yang dianjurkan di bawah Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2022. Ia bertujuan untuk melibatkan secara langsung dalam perbualan dengan masyarakat di negara ini tentang kanser payudara serta kepentingan pengesanan dan saringan awal.

    Forum itu menyaksikan pakar perubatan dari Kementerian Kesihatan dan Pusat Kanser Brunei berkongsi pengetahuan tentang gambaran keseluruhan kanser payudara dan kesan psikologinya serta peranan Pusat Kanser Brunei (TBCC) dalam penjagaan kanser.

    Acara dimulakan dengan pembentangan bertajuk An Overview of Breast Cancer Cases in Brunei daripada penceramah jemputan pertama, Dr Hajah Amalinda binti Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi selaku Perunding Pembedahan Payudara di Kementerian Kesihatan. 

    Dalam pembentangannya, Dr Hajah Amalinda menekankan bahawa kebanyakan kes kanser payudara di Brunei didiagnosis pada peringkat lanjut kerana ketakutan pesakit terhadap perkara yang tidak diketahui dan ketidakpastian yang mengakibatkan pengesanan lewat. Beliau menekankan bahawa lebih awal kanser payudara dikesan, lebih tinggi peluang untuk hidup. 

    Dr Hajah Amalinda menambah dengan melakukan pemeriksaan sendiri payudara secara berkala akan membantu mengesan awal sebarang tanda dan gejala.

    Sementara itu, penceramah kedua, Pakar Perunding Perubatan Onkologi dan Ketua Jabatan Onkologi Perubatan di TBCC, Dr Lu Shir Kiong menyampaikan ceramah bertajuk The Brunei Cancer Centre: Role And Services in Cancer Care. 

    Dr Lu menekankan peranan TBCC dalam menyediakan penjagaan dan rawatan kepada kes-kes kanser di negara ini telah membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan kerana pesakit boleh mendapatkan rawatan di dalam negara.

    Ceramah ketiga bertajuk Psychological Impact of Breast Cancer And Other Chronic Conditions yang disampaikan Pakar Psikologi Klinikal dan Ketua Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan, menekankan impak psikologi yang dialami oleh pesakit daripada diagnosis, semasa menjalani rawatan hingga akhir rawatan. Mempunyai sistem sokongan yang kuat adalah penting untuk pesakit semasa mereka melalui cabaran.

    Penceramah dan panelis pada forum yang diadakan di Makmal Tenaga Seria, baru-baru ini. – Gambar oleh Daniel Lim
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...