LABUAN, 24 NOV – Rungutan selama sebulan berhubung pemeriksaan imigresen yang lebih ketat di terminal feri ro-ro Labuan akan diselesaikan menjelang akhir bulan ini dengan pelaksanaan pemeriksaan imigresen secara pandu lalu di pintu masuk utama terminal.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail berkata pelaksanaan pusat pemeriksaan imigresen baharu itu akan membantu melancarkan aliran trafik di terminal dan memudahkan urusan penumpang feri.
“Kami telah membuat keputusan selepas mempertimbangkan rungutan orang ramai yang menggunakan terminal ini untuk ke tanah besar Sabah.
“Kami menerima aduan berterusan daripada pelancong berhubung dasar baharu yang dilaksanakan sejak hari pertama pelaksanaannya dan kami faham keadaan itu disebabkan ruang yang terhad di bangunan terminal dan jalan sempit menuju ke feri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke terminal itu bersama pegawai Jabatan Imigresen, Jabatan Laut dan Jabatan Kastam Labuan di sini hari ini.
Beliau berkata kaunter imigresen di terminal itu perlu diletakkan di lokasi yang strategik agar pemeriksaan itu boleh dikekalkan.
Rithuan juga berkata kaunter tiket feri yang kini berada di dalam kawasan terminal yang merupakan kawasan larangan dan dilindungi, akan dipindahkan ke luar terminal.
Pengarah Jabatan Imigresen Labuan, Raymond Anak Entalai mengesahkan pemeriksaan secara pandu lalu itu akan dilaksanakan awal Disember. – Bernama