Pemeriksaan pastikan kediaman pekerja ikut piawaian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Sebanyak 17 buah syarikat dan 41 buah kediaman pekerja asing telah diperiksa oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh dari 6 hingga 13 November lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, di sini, pemeriksaan itu bermatlamat untuk menguat-kuasakan undang-undang di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 khususnya di bawah Bab 80 (a,b dan c) dan Bab 81 (1 dan 2) yang menyatakan kewajipan majikan menyediakan bagi pekerja-pekerjanya tempat kediaman yang bersih, selesa dan selamat dengan pembinaan serta penyelenggaraan mana-mana bangunan atau tempat kediaman pekerja yang digunakan hendaklah mematuhi kehendak undang-undang bertulis yang lain.

Pada masa yang sama, pemeriksaan juga bertujuan untuk memastikan tempat kediaman pekerja adalah selaras dan mengikut standard minimum garis panduan piawaian perumahan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Buruh.

Sebagai contoh, majikan hendaklah menyediakan tempat kediaman pekerja asing yang tidak padat dan lebih muatan.

Selain daripada itu, majikan juga disarankan untuk membuat persediaan tempat tinggal yang berkeupayaan untuk menempatkan pekerja di bilik-bilik berasingan sekiranya terdapat kes-kes positif COVID-19.

Kenyataan menyatakan bahawa setakat ini, dua buah syarikat telah diarahkan untuk memindahkan pekerja-pekerjanya ke tempat yang memenuhi piawaian minimum perumahan khususnya mempunyai kapasiti bilik yang boleh menampung jumlah pekerja yang sedia ada dan di tempat yang dibenarkan sahaja.

Kegagalan mematuhi kehendak di bawah Bab 80 (a), (b) dan (c); dan Bab 81 (1) dan (2), Perintah Pekerjaan, 2009 itu, boleh diambil tindakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua, manakala kesalahan seterusnya dikenakan tindakan pendakwaan seperti kehendak Bab 148 iaitu jika sabit kesalahan didenda tidak lebih $3,000, penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh mengingatkan majikan supaya akan sentiasa memantau hal ehwal kebajikan dan keberadaan pekerja mereka menurut kehendak Perintah Pekerjaan, 2009.

Dalam membantu usaha kerajaan untuk mencegah dan membendung penularan wabak ini, para majikan hendaklah lebih bertanggungjawab terhadap tempat penginapan dan kesejahteraan pekerja masing-masing.

Antara kediaman pekerja asing yang menjadi sasaran semasa pemeriksaan berkenaan. – Gambar serahan Jabatan Buruh