Pemeriksaan pastikan peniaga patuhi peraturan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 22 JULAI – Bagi memastikan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dipatuhi oleh gerai perayaan di Tudung Saji, Kuala Belait, satu pemeriksaan mengejut telah dijalankan di kawasan berkenaan, malam tadi.

Pemeriksaan telah diketuai oleh Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria dengan melibatkan pegawai dan kakitangan RYS Entertainment yang membantu menguruskan gerai perayaan di daerah ini serta dari Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) serta Kementerian Kesihatan.

Sepanjang pemeriksaan, para pegawai dan kakitangan berkenaan meronda kawasan dalam dua kumpulan untuk memeriksa gerai-gerai jualan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Beberapa nasihat juga diberikan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan berkenaan termasuk mengenai penggunaan elektrik lebih bebanan, penyelenggaraan tong gas yang digunakan untuk masakan dan sebagainya.

Di samping itu, aspek-aspek lain perayaan yang juga diperiksa adalah penjarakan sosial terutamanya bagi mereka yang makan di gerai serta memastikan bahawa para penjaja memakai penutup mulut dan hidung semasa menyediakan hidangan.

Pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan di gerai perayaan di Tudung Saji, Kuala Belait.