Pemeriksaan pelekat kenderaan luar

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Operasi bersama penguatkuasaan bagi penggunaan pelekat kenderaan asing dijalankan hari ini di beberapa kawasan meliputi Kawasan Perindustrian Beribi, Sumbangsih Mulia, Menglait, Kiulap dan Pasar Ikan Gadong.

Operasi itu disertai para pegawai penguat kuasa dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei (JKED) dan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

Ketua Penguat Kuasa di JPD, Pengiran Khairul Yusra bin Pengiran Haji Mohd Yusof mengatakan operasi itu dihasratkan untuk memastikan pemilik kenderaan dari negara-negara jiran mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

“Ini merupakan langkah pertama seumpamanya, susulan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengesan mana-mana ken-deraan berpendaftaran luar negara di restoran atau kawasan komersial.

Brunei Darussalam melalui JPD telah memperkenalkan dua pelekat iaitu biru untuk penduduk negara jiran yang bekerja di negara ini dan bukan transit manakala merah bagi penduduk negara jiran yang memasuki negara ini melalui jalan darat untuk mengangkut bekalan seperti sayur dan ikan.

Pelekat pas kenderaan itu boleh diperolehi melalui aplikasi mudah alih TransportBN untuk iOS atau Android atau melalui laman web JPD di www.jpd.gov.bn.

Orang ramai yang ingin membuat aduan bolehlah menghubungi talian 993 atau Talian Darussalam 123 atau WhatsApp di talian 8333123.

Pegawai penguat kuasa ketika memeriksa penggunaan pelekat pada salah sebuah kenderaan dari negara jiran.