Oleh Daniel Lim
BELAIT, 5 FEB – Susulan dengan penularan wabak koronavirus yang semakin meningkat di seluruh dunia, Kementerian Kesihatan telah mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dengan melaksanakan pemeriksaan suhu badan di beberapa pos kawalan imigresen di seluruh negara.
Pemeriksaan yang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan termasuk Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) itu telah pun bermula hari ini di Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh di Daerah Belait dan juga Pos Kawalan Imigresen Labu di Daerah Temburong.
Semasa pemeriksaan tersebut, wartawan media sempat membuat pendekatan keadaan orang ramai semasa pemeriksaan suhu badan oleh pegawai dari Kementerian Kesihatan dan JBP sebelum meneruskan perjalanan mereka melepasi pos kawalan imigresen.
Hadir meninjau pemeriksaan di Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.
Menurut Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Annie binti Haji Abdul Rahman semasa ditemu bual menyatakan bahawa pemeriksaan itu bukan sahaja tertumpu kepada pemeriksaan suhu badan tetapi juga pemeriksaan sejarah perjalanan orang ramai, terutamanya kepada mereka yang telah melakukan perjalanan ke kawasan yang terjejas akibat wabak tersebut dalam masa 14 hari.


“Disebabkan perbezaan persekitaran berbanding dengan lapangan terbang, kami memilih untuk menggunakan sensor tenaga yang boleh dipegang dan bukannya kamera inframerah seperti yang digunakan di lapangan terbang untuk mengambil suhu badan secara tepat,” jelasnya.
Apabila ditanya sama ada pemeriksaan ini akan memberi kesan untuk menghentikan virus itu daripada memasuki negara ini, beliau menjelaskan bahawa pada masa ini, memandangkan belum ada sebarang laporan mengenai wabak tersebut, kedua-dua pihak akan terus bekerjasama dalam memastikan keadaan terkawal dan lebih meningkatkan langkah berwas-pada dan pemeriksaan tersebut salah satu langkah awal yang telah diambil.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menghiraukan pelbagai mesej atau perkara yang berkaitan virus berkenaan di pelbagai platform media sosial sebaliknya mengesahkan maklumat tersebut dengan betul.
Wartawan media juga berkesempatan menemu bual Pemangku Pengarah NDMC, Awang Shahrin bin Haji Mohd Jawie yang antara lain menjelaskan bahawa pemeriksaan itu sudah bermula sebelum ini pada minggu ketiga Januari tahun ini.
“Ia (koronavirus) telah dikenal pasti sebagai risiko kepada negara, tetapi pada hari ini kami tidak menerima apa-apa petunjuk bahawa terdapat hubungan langsung dengan mereka yang terjejas dan kami lebih berhati-hati terhadap perkembangan itu,” katanya.
“Kami mempunyai peralatan dan tenaga kerja, dan dengan cadangan yang dibuat oleh rakan-rakan kami; kami berpegang kepada keputusan yang dibuat secara kolektif seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan, “ kata-nya sambil menambah langkah itu turut dilaksanakan bersama banyak pihak berkuasa tempatan seperti NDMC, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Pasukan Polis Diraja Brunei, JBP, dan banyak lagi.
Ditanya mengenai kehangatan sambutan Tahun Baru Cina yang masih lagi diadakan, beliau berkata pemeriksaan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan atau memberi sebarang kesan penting.
“Tetapi kita perlu mengambil langkah-langkah untuk memastikan orang ramai dimaklumkan dengan baik mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan, termasuk memberi nasihat kepada orang ramai tentang perkara yang perlu dilakukan dan tidak, serta langkah-langkah yang kita ambil dalam menangani virus itu, kerana kami tidak mahu menghalang mana-mana perhimpunan besar, terutama semasa musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina,” tambahnya.




























