Pemerintah ABDB dikurniakan anugerah

REPUBLIK SINGAPURA, 13 NOV – Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, telah dikurniakan Anugerah Ketenteraan Tertinggi Republik Singapura iaitu Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) yang disampaikan oleh Presiden Singapura, Puan Yang Terutama Halimah binti Yacob di Istana, Republik Singapura, hari ini.

Pemerintah ABDB telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan pertahanan di antara ABDB dan Angkatan Bersenjata Republik Singapura.

Di bawah kepimpinan beliau, kerjasama ketenteraan dua hala di antara kedua-dua buah angkatan tentera kini semakin kukuh melalui pelbagai interaksi dua hala seperti lawatan rasmi, eksesais dan kursus yang telah meningkatkan lagi pembangunan profesional anggota-anggota dari kedua-dua angkatan tentera.

Selepas majlis pengurniaan, Pemerintah ABDB telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen, dan Ketua Turus Pertahanan Republik Singapura, Leftenan-Jeneral Melvyn Ong.

Presiden Singapura, Puan Yang Terutama Halimah binti Yacob mengurniakan Anugerah Ketenteraan Tertinggi Republik Singapura iaitu Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud pada majlis yang diadakan di Istana, Republik Singapura. – Gambar oleh Kementerian Pertahanan
Pemerintah ABDB ketika mengadakan kunjungan hormat kepada TYT Dr Ng Eng Hen. – Gambar oleh Kementerian Pertahanan