Pemerintah ABDB terima kunjungan panglima S’pura

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, hari ini, telah menerima kunjungan hormat daripada Panglima Tentera Darat, Angkatan Tentera Republik Singapura, Mejar Jeneral Goh Si Hou.

Turut hadir semasa kunjungan berkenaan ialah ketua staf ABDB dan pengarah perisikan.

Semasa kunjungan tersebut, pemerintah ABDB meluahkan rasa penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh Angkatan Tentera Republik Singapura, termasuk interaksi yang kerap melalui latihan ketenteraan dan kursus.

Kedua-dua belah pihak mengakui bahawa Eksesais MAJU BERSAMA Siri 24/2020 yang berlangsung berperanan sebagai landasan yang boleh dipercayai dalam memupuk kepercayaan, membina keyakinan dan kebolehoperasian antara ke-dua-dua buah negara dan meningkatkan tahap keselamatan melalui pertukaran kepakaran dan dialog dua hala.

Pemerintah ABDB kemudiannya mengalu-alukan apa jua peluang kerjasama yang menguatkan hubungan di antara Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan Tentera Darat Republik Singapura.

Mejar Jeneral Goh Si Hou berada di Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Majlis Penutup Eksesais MAJU BERSAMA Siri 24/2020, eksesais dua hala yang melibatkan anggota tentera dari Batalion Pertama TDDB dan 3rd Battalion Singapore Infantry Regiment (3 SIR) Tentera Darat Republik Singapura, yang berlangsung hari ini.

Pemerintah ABDB ketika menerima kunjungan hormat Mejar Jeneral Goh Si Hou.