BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud telah menerima kunjungan perpisahan daripada Panglima Tentera Darat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Datuk Sri Zulkiple bin Haji Kassim, kelmarin.
Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Khairul Hamed bin Haji Lampoh serta ketua-ketua staf ABDB.
Semasa kunjungan tersebut, kedua belah pihak mengesahkan hubungan rapat yang sekian lama terjalin di antara ABDB dan ATM, serta memuji kemajuan yang dicapai dalam meningkatkan hubungan kerjasama menerusi pelbagai interaksi seperti pertukaran lawatan, kursus, pertukaran profesional, latihan dan eksesais dua hala serta pelbagai hala.
Jeneral Tan Sri Datuk Sri Zulkiple sedang berada di negara ini untuk mengadakan lawatan perpisahan selama tiga hari bermula pada 4 Ogos lalu.
Semasa lawatan perpisahan tersebut, beliau telah mengadakan lawatan ke Markas TDDB di Berakas Garison.

Panglima TDM itu telah menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Batalion Ketiga TDDB yang diketuai oleh Leftenan Mohd Affandi bin Juna.
Jeneral Tan Sri Datuk Sri Zulkiple seterusnya membuat kunjungan hormat kepada Pemerintah TDDB, di mana kedua belah pihak memberikan keyakinan bahawa hubungan baik ini akan sentiasa dimajukan pada masa akan datang.
Di samping program lawatan itu, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Zulkiple dan delegasi beliau turut terlibat dalam pelbagai sesi interaksi dengan pegawai-pegawai kanan ketenteraan dari ABDB dan juga disambut dengan satu majlis makan malam dihoskan oleh Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Khairul Hamed.