Pemerintah ABDB terima pingat dari Singapura

SINGAPURA, 14 JUN – Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan telah dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang (Tentera) MSM (M) oleh Presiden Republik Singapura, Puan Yang Terutama Dr Hajah Halimah binti Yacob semasa lawatan pengenalan ke Republik Singapura dari 13 hingga 15 Jun.

Pingat tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen, pada majlis yang diadakan di Kementerian Pertahanan Republik Singapura.

Menurut kenyataan yang diterima daripada Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam, hari ini, pemerintah ABDB telah menerima anugerah MSM (M) dalam kapasiti beliau sebagai Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dari tahun 2020 hingga tahun 2022 atas sumbangan dan usaha beliau dalam memupuk dan memperkembangkan hubungan dua hala di antara TDDB dan Tentera Darat Republik Singapura, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran daripada pandemik COVID.

Terdahulu, mengiringi pemerintah ABDB dalam lawatan itu ialah Pengarah Perisikan, Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam, Kolonel (U) Haji Muhammad Muluddin bin Haji Latif.

Sejurus tiba di Kementerian Pertahanan Republik Singapura, pemerintah ABDB me-nerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan.

Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi semasa mengadakan kunjungan hormat kepada TYT Dr Ng Eng Hen diiringi Leftenan Jeneral Dato Paduka Seri Melvyn Ong. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan

Ini diikuti dengan kunjungan hormat kepada TYT Dr Ng Eng Hen dengan diiringi oleh Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Bersenjata Republik Singapura (SAF), Leftenan Jeneral Dato Paduka Seri Melvyn Ong.

Tambah kenyataan itu lagi, semasa perjumpaan tersebut, kedua-dua belah pihak telah mengulangi komitmen bersama untuk memperkukuhkan hubungan pertahanan dua hala dan meningkatkan peluang, dua hala dan pelbagai hala, dalam bidang kepentingan bersama sambil menyumbang ke arah keamanan dan kestabilan serantau.

Sebagai sebahagian daripada program lawatan tersebut, pemerintah ABDB juga telah membuat kunjungan ke Skuadron Aster-30 di Kem Lim Chu Kang, serta Frigate dan Counter-Terrorism Information Facility di Changi Naval Base.

Pemerintah ABDB dan delegasi juga turut dijemput ke majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh Leftenan Jeneral Dato Paduka Seri Melvyn Ong dan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan utama Angkatan Bersenjata Republik Singapura.

Sebelum mengadakan lawatan pengenalan ke Republik Singapura, pemerintah ABDB juga menghadiri Dialog Shangri-La ke-19 dari 10 hingga 12 Jun di negara berkenaan.

Lawatan pengenalan pemerintah ABDB ini mencerminkan hubungan pertahanan yang istimewa dan erat di antara ABDB dan SAF.

Negara Brunei Darussalam menubuhkan hubungan pertahanan dua hala bersama Republik Singapura pada tahun 1976 dan dianggap sebagai tonggak utama hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.

Pada tahun 2021, ABDB dan SAF telah meraikan hubungan perta-hanan dua hala yang ke-45 tahun.

Kedua-dua buah angkatan tentera telah berinteraksi secara kerap melalui pelbagai platform kerjasama termasuk kunjungan rasmi, eksesais dua hala dan pelbagai hala, pertukaran profesional, serta latihan dan kursus, yang merapatkan lagi hubungan profesional dan setia kawan di antara kedua-dua buah angkatan tentera.