Pemerintah angkatan bersama baharu di MAB ABDB

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Markas Angkatan Bersama ABDB (MAB ABDB) kini mempunyai pemerintah baharu dengan majlis serah tugas yang diadakan di Dewan Wira Seni, Bangunan Pancaragam, Bolkiah Garison, hari ini.

Majlis menyaksikan Mantan Pemerintah Angkatan Bersama, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim menyerahkan tugas kepada Pemerintah Angkatan Bersama yang baharu iaitu Brigedier Jeneral Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, turut hadir pada majlis tersebut ialah timbalan pemerintah angkatan bersama, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, sarjan mejar angkatan bersama dan anggota-anggota angkatan bersama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan daripada mantan pemerintah angkatan bersama dan diteruskan dengan acara penandatanganan sijil serah terima tugas yang melambangkan penyerahan tugas sebagai pemerintah angkatan bersama secara rasmi.

Pada majlis berkenaan, Brigedier Jeneral Haji Abdul Razak turut menyampaikan ucapan selaku pemerintah angkatan bersama yang ke-6.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Penutup yang dipimpin oleh Pegawai Operasi, Jabatan Agama ABDB (JAMAAT), Kapten Mohammad Ayza Azrine bin Ayahani dan sesi bergambar ramai dengan anggota MAB ABDB.

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif (kiri) menyerahkan tugas pemerintah angkatan bersama kepada Brigedier Jeneral Haji Abdul Razak (kanan) dalam majlis yang berlangsung di Bolkiah Garison, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan