Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemerintah TLDB hadiri International Fleet Review

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad telah menghadiri International Fleet Review (IFR) bersempena ulang tahun ke-70 Angkatan Tentera Republik Korea yang berlangsung di Jeju, Republik Korea baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, upacara utama IFR 2018 ialah ‘The Pass-in–Review’, menyaksikan Presiden Republik Korea, Tuan Yang Terutama Moon JaeIn, berada di atas Kapal ROKS ILCHUBONG, bagi menyaksikan pelayaran lalu sekali gus memeriksa perbarisan kapal yang melibatkan 43 buah kapal laut dan 24 buah pesawat dari pelbagai negara di selatan pantai Pulau Jeju.

    Kenyataan menjelaskan, Pemerintah TLDB dan isteri turut hadir di atas kapal berkenaan bersama-sama 20 orang pemerintah angkatan laut dan 26 ketua delegasi.

    Penglibatan negara dalam ‘The Pass–in–Review’ telah diwakili oleh KDB Daruttaqwa yang berakhir dengan menyaksikan demonstrasi terjun payung beraltitud tinggi dan persembahan daripada pesawat F-16 dan F-15 sebelum ROKS ILCHUBONG memasuki pelabuhan.

    Sementara itu, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi turut menghadiri ‘Western Pacific Naval Symposium’ (WPNS) ke-16 yang dihoskan oleh Tentera Laut Republik Korea (TLRK) bersempena IFR.

    Simposium berkenaan berakhir pada 15 Oktober, dengan membawakan tema ‘Enhancing Maritime Security Cooperation in the Western Pacific Region’, telah dipengerusikan oleh Chief of Naval Operations (CNO) TLRK, Admiral Sim Seung-Seob dan dihadiri oleh Menteri Pertahanan Republik Korea, TYT Jeong Kyuong-doo bersama para pemerintah dan perwakilan angkatan laut dari 46 buah negara.

    Pada simposium itu, telah menyaksikan persetujuan para ahli untuk menyokong dokumen ‘Disaster Response Operations Guide 2.0’ yang memberikan garis pandu dan maklumat lengkap untuk tindak balas bencana dan aspek undang-undang sejajar dengan United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).

    Ahli WPNS turut mengesahkan ‘Code for Unplanned Encounters at Sea Steering Committee Terms of Reference’. Mereka turut bersetuju dan menyambut Tentera Laut Ecuador dan Tentera Laut Sri Lanka sebagai pemerhati.

    Simposium seterusnya yang diadakan pada setiap dua tahun akan diadakan di Filipina pada 2020. Sebagai persiapan kepada simposium itu, TLDB akan menganjurkan Bengkel WPNS pada April tahun depan.

    Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bergambar ramai bersama para pemerintah angkatan tentera laut negara-negara sahabat semasa menghadiri ‘Western Pacific Naval Symposium’ di Republik Korea, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda