KUALA LUMPUR, 29 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong Malaysia telah berkenan mengurniakan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) Darjah Pertama Tahun 2024 sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia yang ke-91, Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) Kehormat kepada Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.
Upacara Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia Tahun 2024 telah berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur.
Penganugerahan tersebut merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan ke atas sumbangan Pemerintah TUDB dalam menyumbang ke arah meningkatkan dan mengukuhkan hubungan dua hala serta kerjasama erat di antara TUDB dan Tentera Udara Diraja Malaysia.