Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad telah menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) ke-28 yang berlangsung selama dua hari hingga kelmarin di Phnom Penh, Kemboja.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan, Belia dan Sukan, Kemboja, Tuan Yang Terutama Dr Hang Chuon Naron.
Semasa mesyuarat itu, Yang Berhormat Dato menegaskan agenda pemerkasaan belia masih kekal sebagai keutamaan bagi ASCC, di samping menekankan keperluan untuk sentiasa menyediakan landasan bagi belia mengongsikan cerita-cerita kejayaan dan pengajaran yang diperoleh demi memberi gambaran yang lebih komprehensif dan jelas tentang penglibatan mereka dalam ASEAN.
Beliau seterusnya menekankan semula peranan kebudayaan dan industri kreatif sebagai pemboleh dan pemacu bagi pertumbuhan sosioekonomi ASEAN dan mengalu-alukan Deklarasi Siem Riep dalam Mempromosi Komuniti ASEAN yang Kreatif dan Adaptif untuk Menyokong Kebudayaan dan Ekonomi Kreatif.
Beliau berkata, deklarasi tersebut akan membolehkan ASEAN untuk menonjolkan trend-trend baharu, serta mempertingkatkan lagi taraf hidup pekerja-pekerja dalam sektor budaya dan industri kreatif yang dirangkumi oleh belia-belia, wanita, warga emas dan warga kelainan upaya, demi memanfaatkan perubahan pesat disebabkan oleh transformasi digital.
Yang Berhormat Dato juga menekankan tema Kemboja selaku Pengerusi ASEAN iaitu ASEAN ACT: Addressing Challenges Together telah menetapkan hala tuju kerja-kerja ASCC dan badan-badan sektoral di bawahnya bagi 2022 dengan mengutamakan usaha-usaha pembangunan komuniti dan penyesuaian diri kepada cabaran-cabaran serta peluang yang akan datang.
Perkara berkenaan menggariskan semula peranan penting ASCC untuk mencapai komuniti yang berpaksikan dan berorientasikan rakyat.
Menurut kenyataan yang dikeluar-kan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), semasa mesyuarat itu, menteri-menteri Majlis ASCC juga menekankan pentingnya peranan aktif golongan belia dalam pembangunan komuniti ASEAN serta dalam menangani cabaran-cabaran yang sedia ada mahupun yang akan datang di rantau ini.
Sebagai susulan kepada beberapa deliverables utama Negara Brunei Darussalam semasa mempengerusikan Majlis ASCC tahun lepas, antara komitmen yang masih ditetapkan adalah penerusan dalam usaha untuk menubuhkan ASEAN Centre for Climate Change di Negara Brunei Darussalam.
Menteri-menteri Majlis ASCC seterusnya mengalu-alukan perkembangan kerjasama dalam bidang sukan bagi ASEAN Plus China menerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan mengenai Sukan (SOMS) yang akan memulakan penglibatan bersama General Administration of Sports of China tahun ini.
Di samping itu, melaksanakan ASEAN Framework on Care Economy melalui ASEAN Comprehensive Recovery Framework dan penetapan Care Economy sebagai Platform Penyelidikan dan Pembangunan di bawah ASCC.
Sidang menteri seterusnya mengesahkan dan mengambil maklum ASCC outcome documents yang akan dihadapkan kepada ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 yang bakal diadakan pada November 2022, di Phnom Penh, Kemboja.
Di samping Mesyuarat Majlis ASCC ke-28, Yang Berhormat Dato bersama menteri-menteri Majlis ASCC dan Setiausaha Agung ASEAN turut serta dalam pertemuan hormat bersama Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen.
Yang Berhormat Dato juga mengadakan perjumpaan dua hala dengan TYT Dr Hang Chuon Naron selaku Pengerusi Mesyuarat Majlis ASCC 2022; dan Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Indonesia, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Muhadjir Effendy, selaku Pengerusi Majlis ASCC bagi 2023 yang akan datang.
Turut hadir bersama Yang Berhormat Dato ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, dan pegawai-pegawai kanan KKBS.
Mesyuarat Majlis ASCC ke-28 telah didahului dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pegawai-pegawai Kanan bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN (SOCA) ke-33 yang telah diadakan melalui persidangan video pada 5 Oktober lalu.