Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memainkan peranan penting dalam ekonomi global, memandu inovasi, pembangunan ekonomi dan penjanaan pekerjaan.
Lebih 90 peratus daripada perusahaan dunia adalah PMKS dan dalam pasaran baru muncul, ia bertanggungjawab bagi penjanaan 80 peratus pekerjaan baharu. Di sebalik perwakilan yang meluas, PMKS tidak mempunyai bahagian eksport dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang sepadan di mana ia menunjukkan bahawa perlunya untuk meningkatkan lagi keupayaan mereka supaya akan mengembangkan lagi sumbangannya.
Di Negara Brunei Darussalam, pembangunan PMKS merupakan komponen penting dalam visi negara, Wawasan Brunei 2035, yang mana ia memberikan penekanan kepada ekonomi yang dinamik dan mampan dengan per kapita KDNK yang antara 10 terbaik di dunia.
Untuk memperkasakan keusahawanan dan memacu pembangunan PMKS yang inovatif, pelbagai dan kompetitif, Brunei baru-baru ini melaksanakan agenda reformasi yang bercita-cita tinggi untuk memperbaiki lagi Ease of Doing Business di Brunei dan untuk menubuhkan sebuah badan kebangsaan khusus untuk menyokong PMKS.
Menerusi pendekatan seluruh negara itu, kerajaan Brunei telah bekerjasama rapat dengan sektor swasta dan berjaya untuk menaikkan kedudukan negara dalam laporan Ease of Doing Business Bank Dunia, empat tahun berturut-turut iaitu daripada kedudukan 108 kepada 56 daripada 190 ekonomi dunia.
Pada 2016, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penubuhan Darussalam Enterprise (DARe) untuk menerajui pembangunan PMKS sebagai pemandu pertumbuhan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Dalam hubungan itu, bersempena dengan Hari Antarabangsa PMKS, DARe menyatakan penghargaan kepada PMKS atas sumbangan dan daya tahan mereka ke arah pembangunan masa depan yang lebih baik.
Menurut perutusan yang dikeluarkan oleh DARe, di sini, hari ini, ia juga ingin mengalu-alukan dan menjemput PMKS tempatan untuk melibatkan diri dengannya, membenarkan DARe untuk memahami keperluan perusahaan mereka serta untuk memberikan sokongan kepada mereka supaya dapat membantu mereka untuk menembusi pasaran dan berkembang.
Dalam perutusan itu lagi, DARe menyatakan bahawa pada masa ini, ia melaksanakan tiga program latihan bagi PMKS bermula dengan Akademi Perniagaan Industri yang meliputi kemahiran perniagaan asas daripada pengurusan kewangan kepada pemasaran di mana menerusi modul yang diajar dalam bilik darjah, ia telah menyaksikan penyertaan daripada kira-kira 3,400 orang pemilik perniagaan dan kakitangan mereka.
DARe juga mengadakan dua bootcamp perniagaan sepanjang tahun yang menyediakan latihan intensif, bimbingan dan akses kepada pasaran serta pelabur.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa Startup Bootcamp merupakan program accelerator 100 hari yang menyasarkan perniagaan yang mempunyai potensi untuk berkembang dengan cepat dan membangun keluar dari Brunei.
Menurut kenyataan itu lagi, dua pusingan pertama Startup Bootcamp telah menyaksikan penyertaan daripada 46 buah syarikat di mana secara kolektif ia telah mengumpul pelaburan lebih $580,000 dan menjana kira-kira 400 peluang pekerjaan.
Sementara itu, Bootcamp Perniagaan Mikro menumpukan kepada meningkatkan lagi kemahiran belia yang ingin memulakan dan menjalankan perniagaan sendiri dengan memberikan mereka ilmu pengetahuan serta memupuk daya tahan dan keinginan untuk bergerak ke hadapan melaksanakan idea-idea perniagaan mereka.
Kenyataan menjelaskan bahawa pusingan pertama bagi program berkenaan yang diadakan pada awal 2018 telah menyaksikan penubuhan 32 buah perusahaan baharu.
Dalam pembiayaan PMKS, DARe telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Mikrokredit yang menawarkan pembiayaan sehingga $15,000. DARe juga sedang bekerjasama rapat dengan Bank Usahawan yang baru ditubuhkan di mana PMKS boleh mendapatkan bantuan pembiayaan sehingga $750,000.
Pada masa yang sama, DARe juga menyediakan ruang bagi PMKS untuk berkembang dan membangun termasuk menyediakan ruang bagi perniagaan baharu dan tapak perindustrian serta kilang-kilang yang siap dibina bagi perniagaan besar.
Lebih daripada 300 buah perniagaan pada masa ini, menduduki 29 tapak perindustrian yang diurus oleh DARe di keempat-empat daerah yang meliputi pelbagai bidang pembuatan dan perkhidmatan.
Bagi membolehkan PMKS untuk mengakses pasaran tempatan, DARe telah melancarkan inisiatif Buatan Brunei (Made in Brunei) yang menyediakan akses bagi produk-produk buatan Brunei kepada kedai-kedai runcit negara serta mempamerkan produk mereka di lokasi strategik termasuk hotel dan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
DARe juga menghubungkan PMKS ke pasaran antarabangsa menerusi pameran dan pesta perdagangan antarabangsa serta untuk membangunkan program komprehensif untuk membolehkan PMKS mempunyai keupayaan pembuatan, persijilan antarabangsa dan logistik supaya dapat dieksport dengan jayanya.
Bagi menangani masalah, isu dan persoalan khusus daripada PMKS, DARe juga telah menubuhkan tiga buah Pusat Sokongan Perniagaan. Cawangan utama pusat sokongan itu terletak di Bandar Seri Begawan yang menempatkan 13 buah agensi kerajaan berbeza dengan cawangan di Daerah Belait dan Temburong.
Pusat-pusat berkenaan beroperasi dengan barisan hadapan perkhidmatan untuk PMKS bagi memudah cara proses-proses berhubungan dengan perniagaan dan untuk mencatatkan isu-isu mereka di mana ia akan diselesaikan oleh kumpulan sokongan khusus.
Menurut DARe, lebih daripada 16,000 lawatan telah dicatatkan di pusat-pusat sokongan berkenaan di mana kira-kira 85 peratus isu yang diketengahkan telah berjaya diselesaikan.
Kenyataan DARe menambah bahawa dengan bertambahnya pengaruh media sosial dan digital, ia juga telah menubuhkan Biz Brunei, sebuah platform berita atas talian untuk mempromosikan keusahawanan dengan mengetengahkan pergerakan PMKS tempatan dan mendedahkan mengenai peluang perniagaan yang terkini serta reformasi menerusi artikel dan video.
DARe juga akan terus membuat penilaian landskap perniagaan dan ekonomi global, supaya akan terus menyediakan dan memperbaiki lagi inisiatif bagi membolehkan PMKS Brunei untuk membangun dan berintegrasi dengan rangkaian nilai global.