Pemerolehan domestik bantu syarikat senjata India

NEW DELHI, 6 DIS – Pemerolehan senjata domestik membantu melin-dungi pengeluar peralatan pertahanan India daripada kesan buruk ekonomi global yang dilanda pandemik, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI).

Kerajaan India mengumumkan larangan berperingkat ke atas import lebih 100 jenis peralatan ketenteraan berbeza bagi menyokong syarikat domestik dan meningkatkan keupayaan pengeluaran senjata serta jualan Hindustan Aeronautics, Bharat Electronics dan Indian Ordnance Factories.

Ketiga-tiga syarikat itu, termasuk dalam ranking 2020 SIPRI bagi 100 pengeluar senjata utama dunia, menyumbang jualan sebanyak AS$6.5 bilion tahun lepas, meningkat 1.7 peratus berbanding 2019.

“Perolehan domestik telah membantu melindungi syarikat India daripada kesan ekonomi negatif daripada pandemik,” menurut SIPRI. 

Hasil jualan daripada 100 pembuat senjata utama dunia ialah AS$531 bilion pada 2020, mencatatkan pertumbuhan 1.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 41 syarikat senjata berpangkalan di Amerika Syarikat dan menyumbang AS$285 bilion.

Syarikat senjata nombor satu dunia, Lockheed Martin diikuti Raytheon Technologies, Boeing, Northrop Grumman dan General Dynamics.

Lima syarikat China teratas dalam senarai SIPRI menyumbang anggaran jualan bernilai AS$66.8 bilion, manakala sembilan syarikat Rusia mencapai jualan AS$26.4 bilion.

Sebanyak 26 syarikat Eropah menjana jualan AS$109 bilion mewakili 21 peratus daripada jumlah keseluruhan.  – Bernama