Pemetik api mirip pistol dijumpai di Miri

MIRI, 4 Jan – Polis menemukan dua pemetik api yang menyerupai senapang dan pistol di sebuah premis perniagaan di Jalan Datuk Muip pada Ahad lepas.

Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata, hasil pemeriksaan oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri ke atas premis berkenaan menemukan dua pemetik api itu kira-kira jam 6 petang pada hari yang sama.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki bertopeng membawa dua objek menyerupai senjata,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Khoo berkata, berdasarkan rakaman CCTV tersebut, pemeriksaan susulan dilakukan dan mendapati suspek meninggalkan kedua-dua objek yang kemudiannya dikenal pasti sebagai pemetik api di premis berkenaan.

“Siasatan masih diteruskan untuk memburu suspek yang bertopeng itu,” katanya. – Bernama