Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah hari ini berkenan berangkat dan menyertai sesi pemilihan Skuad Kebangsaan Bola Jaring bagi Sukan Asia Tenggara di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.
Yang Teramat Mulia adalah antara pemain yang disenaraikan selepas ujian kecergasan dibuat pada 11 Januari yang lalu bersama 21 pemain lain sebelum disaring menjadi 18 pemain yang bakal diumumkan esok.
Menurut Ketua Jurulatih Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam, Thilaka Jinadasa pemilihan ini berfokus kepada penyertaan yang bakal diadakan pada 21 hingga 28 Ogos ini nanti.
“Pada penyertaan lalu kita berjaya meraih gangsa dan sasaran pada penyertaan kali ini adalah untuk sama ada mempertahankan pingat itu atau meraih lebih tinggi daripada itu,” ujarnya.
Menurutnya pemilihan yang dibuat pada peringkat pertama pada 11 Januari lalu untuk ujian kecergasan merupakan kunci utama dan beliau percaya ia adalah keutamaan bagi penyarung jersi kebangsaan.

“Seramai 22 orang pemain hadir hari ini dan kami akan memilih 18 pemain yang akan terlibat dalam latihan selama dua bulan sebelum tapisan kedua dibuat.
Selepas tempoh itu, 15 pemain yang akan dipilih lagi nanti untuk meneruskan latihan selama tiga bulan sebelum sekali lagi disaring menjadi 12 orang yang bakal membawa cabaran negara di Sukan Asia Tenggara nanti,” tegas Thilaka Jinadasa.
Mengulas mengenai pencapaian para pemain hari ini, beliau berkata panel pemilihan melibatkan perwakilan dari Kementerian Pertahanan dan beliau sendiri menegaskan pemilihan kali ini lebih baik berbanding sebelumnya.
“Pada kali ini, kita sangat gembira dengan kehadiran pemain tinggi lampai dan lebih cergas berbanding sebelum ini dan mereka ini akan diberikan pendedahan intensif selama dua bulan akan datang bagi mempersiapkan mereka daripada aspek fizikal dan mental,” tambahnya
Beliau sangat gembira dengan sambutan pemilihan kali ini dan sejak latihan dibuat pada Oktober lalu semua pemain menunjukkan komitmen yang sangat menggalakkan.