NEW YORK, 10 JAN – Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert mengucapkan tahniah kepada Joseph Aoun atas pemilihannya sebagai Presiden Lubnan, lapor agensi berita Emiriah (WAM).
Dalam kenyataan, Hennis-Plasschaert menyifatkan perkembangan itu sebagai langkah pertama yang lama tertangguh untuk menangani kekosongan politik dan institusi di Lubnan serta menyediakan rakyatnya dengan institusi negara yang berfungsi.
“Perdana Menteri mesti dilantik dan kerajaan perlu dibentuk tanpa berlengah. Tugas-tugas yang dihadapi negara Lubnan terlalu besar untuk membiarkan lebih banyak masa terbuang.
“Ini adalah masa untuk setiap pembuat keputusan mengutamakan kepentingan Lubnan melebihi pertimbangan peribadi atau politik,” tegasnya.
Hennis-Plasschaert turut berkata bahawa pemilihan presiden membawa harapan baharu dan peluang untuk mengukuhkan keselamatan serta kestabilan negara dengan memantapkan penghentian permusuhan, memperkukuh kuasa negara di seluruh negara dan memajukan pembaharuan yang menyeluruh serta mampan.
Beliau mengulangi komitmen PBB untuk bekerjasama dengan Aoun dan pihak berkuasa berkaitan bagi menyokong Lubnan dalam mengambil langkah-langkah bermakna dan dapat diukur ke arah matlamat itu. – Bernama