SHANGHAI, 10 JAN – Seorang lelaki dari Shanghai, China terkejut setelah mendapati apartmen yang disewakannya dua tahun lalu telah dijadikan sebagai reban ayam dengan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki.
Bayangkan, awda mengeluarkan semua duit simpanan untuk membeli dan mengubahsuai sebuah apartmen, kemudian menyewakannya untuk mendapatkan keuntungan dan akhirnya mendapati penyewa telah menggunakannya untuk memelihara ayam, lapor Oddity Central.
Ia kedengaran seperti satu jenaka, tetapi ini adalah kisah benar seorang lelaki dari China yang baru-baru ini diberitahu oleh jirannya bahawa ada suara aneh dan bau busuk dari apartmen yang disewakannya dua tahun lalu.
Lelaki tersebut tidak pernah memeriksa apartmen itu sehinggalah dua bulan lalu dan dia terkejut setelah mendapati ayam berkeliaran dan terbang di dalam apartmen tersebut.
“Tempat tersebut bau busuk,” kata pemilik kepada Dianshi News dengan keadaan marah. “Dinding dan lantai rosak teruk. Ia memerlukan pengubahsuaian sepenuhnya, jika tidak, tiada sesiapa yang boleh tinggal di dalamnya.”
Pemilik bilik apartmen, yang namanya tidak didedahkan oleh media China, mengadu duit sewa yang diterimanya selama dua tahun itu tidak cukup untuk menampung kos pengubahsuaian, dan dia ketika ini meminta pendapat dari dalam talian untuk bagaimana menangani situasi tersebut.
Salah seorang jiran, yang hanya dikenali sebagai Wu, memberitahu wartawan bahawa dia dan jiran yang lain mengadu kepada pengurus bangunan mengenai bau busuk yang keluar dari apartmen itu, meskipun mereka sudah menutup jendela dengan rapat. – Agensi