Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Sebagai usaha menjalinkan hubungan lebih erat serta mendidik pelanggan sedia ada mengenai kenderaan Suzuki Jimny, Boustead Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kereta Suzuki di Brunei, telah mengadakan acara Jimny: Zero to 100 di AutoMagination, Perindustrian Lambak, hari ini.
Acara kesetiaan pelanggan berkenaan diadakan secara eksklusif untuk pelanggan Suzuki Jimny untuk mengetahui lebih mendalam mengenai kereta berkenaan menerusi sesi latihan teori dan praktikal.
Seramai 50 orang dari pelbagai peringkat umur menyertai acara itu yang dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan petang.
Sepanjang acara itu, pelanggan diberikan barangan eksklusif Jimny: Zero to 100 dan hadiah elektronik melalui kuiz mengejut berdasarkan latihan teori di samping menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh Pengurus Operasi Kanan Boustead, Tan Teck Hock.
Di samping itu, diskaun juga disediakan untuk acara sehari itu khusus untuk semua alat ganti dan aksesori Jimny yang disediakan oleh Pusat Servis Suzuki serta AutoMagination.
Dua daripada aktiviti utama yang menarik minat kebanyakan pelanggan ialah litar berhalangan dan aktiviti pandu uji dengan Suzuki Jimny syarikat itu. Litar berhalangan dicipta untuk meniru situasi luar jalan sebenar seperti mengatasi lubang berlumpur, bergerak melalui hutan tebal dan menakluki batu besar untuk mempamerkan keupayaan Jimny melalui halangan itu dengan mudah.