Pemilik kod merah dikompaun $5,000 jika keluar

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Kerajaan Negara Brunei Darussalam tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun $5,000 atau dihadapkan ke mahkamah jika mereka yang memiliki kod BruHealth berwarna merah didapati keluar semasa tempoh kuarantin.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menegaskan perkara berkenaan sambil mengingatkan orang ramai untuk terus kekal ‘teranah di rumah’.

Pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato menjelaskan, Pasukan Polis Diraja Brunei bekerjasama dengan agensi lain bagi memantau terutama sekali perjalanan orang ramai di negara ini pada masa ini.

Semasa membuat sekatan jalan raya itu, mereka membantu memeriksa kod BruHealth dan jika didapati kod berwarna merah akan dikeluarkan kompaun dan dengan penglibatan pasukan polis ini, tambah beliau, memperlihatkan bahawa kerajaan sangat mengambil serius terhadap perkara berkenaan.

Beliau seterusnya menjelaskan, lebih 7,000 orang sedang menjalani kuarantin dan ada didapati sebahagian daripada mereka positif setelah melakukan ujian swab kali kedua.

Yang Berhormat Dato, turut mengongsikan perbandingan jumlah panggilan yang diterima oleh pusat panggilan 145 bagi mereka yang mengalami kebimbangan (anxiety syndrome) terhadap pandemik ini.

Menurut beliau, jika dibandingkan pada tahun lepas, pusat panggilan berkenaan menerima lebih 200 panggilan dalam masa sebulan.

“Jumlah panggilan itu akan meningkat dalam masa dua ke tiga bulan dan ada kalanya ia melonjak naik dan pernah juga berlaku empat kali ganda dalam sebulan dan jika dibandingkan untuk gelombang kedua ini, terdapat peningkatan daripada jumlah tersebut,” jelasnya.