MADRID, 10 APRIL – Pengawal Awam Sepanyol berkata ia sedang menyiasat seorang ahli perniagaan di wilayah timur Valencia yang memiliki koleksi taksidermi peribadi dengan lebih 1,000 haiwan yang diawet, termasuk lebih 400 daripada spesies dilindungi dan sekurang-kurangnya satu spesimen oriks Afrika Utara, yang sudah pupus.
Koleksi itu dianggarkan bernilai 29 juta euro di pasaran gelap, menurut kenyataan Pengawal Awam hari ini, menambah bahawa pemilik tersebut boleh didakwa dengan penyeludupan dan beberapa tuduhan jenayah terhadap alam sekitar.
Ia berkata penemuan itu adalah yang terbesar bagi spesimen diawet yang dilindungi di Sepanyol.
Ejen penyiasatan mendapati haiwan yang diawet berada di dua gudang berkeluasan 50,000 meter persegi di luar Betera, sebuah bandar kecil di Valencia.
Daripada 1,090 haiwan diawet yang ditemui, 405 tergolong dalam spesimen dilindungi oleh konvensyen CITES bagi perlindungan haiwan liar.
Ini termasuk oriks Sahara, yang Kesatuan bagi Perlindungan Alam Semula jadi Antarabangsa (IUCN), mengisytiharkannya pupus dalam hidupan liar pada 2000, dan sekurang-kurangnya dua lagi spesimen hampir pupus iaitu addax dan antelop putih, berasal dari gurun Sahara dan harimau Bengal.
Ejen turut merekodkan spesimen cheetah, harimau bintang, singa, lynx, beruang kutub, harimau kumbang salji dan badak sumbu putih yang diawet, serta 198 gading gajah.
Pengawal Awam berkata ia akan menyiasat sama ada sebarang terdapat sebarang dokumen yang membolehkan pemilikan koleksi. – AP