Pemilik ladang sawit wajib serah nama pekerja asing

BAU, 25 MAC – Semua pemilik ladang kelapa sawit di Sarawak, dikehendaki menyerahkan senarai nama serta jumlah pekerja asing, kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini berkata, tindakan ini bertujuan untuk memantau sejarah perjalanan pekerja asing di ladang-ladang kelapa sawit, bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Sekiranya mereka mempunyai sejarah perjalanan pulang ke kampung khususnya dalam kalangan warganegara Indonesia, mereka dikehendaki untuk mengkuarantin diri selama 14 hari, dan perlu dipantau dengan rapi.

“Jika ada yang mempunyai simptom seperti demam dan batuk, dihantar ke hospital berdekatan, ia memudahkan JPBN untuk mengenal pasti kontek yang terdekat,” katanya pada sidang media selepas membuat pemantauan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di ladang-ladang dan kilang-kilang kelapa sawit, di daerah-daerah Bau dan Lundu.

Hadir sama dalam pemantauan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Ik Pahon Joyik, dan Pengurus Besar Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) Joseph Blandoi.

Uggah berkata, setiap kilang kelapa sawit yang beroperasi perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memantau pergerakan mereka yang keluar masuk kilang. – Bernama

Anggota polis memeriksa suhu badan salah seorang pekerja kilang Bau Palm Oil Mill pada hari kelapan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan COVID-19. – Bernama