Pemilik PSG hadapi tuduhan

PARIS, 10 APRIL – Presiden Paris Saint-Germain (PSG) Nasser al-Khelaifi telah dituduh terlibat dalam konflik berkepentingan dalam pertikaian mengenai bayaran televisyen kepada kelab bola sepak Perancis yang menghadapi krisis kewangan dalam pandemik koronavirus.

Al-Khelaifi, 46, adalah pemilik PSG berasal dari Qatar yang telah mengubah mereka menjadi salah satu kelab yang paling kuat di Eropah.

Dia juga adalah ketua Kumpulan Media BeIN, yang sebagai salah satu penyiaran utama Ligue 1 Perancis telah menunda pembayaran terbaharu kerana penggantungan musim ini. Canal Plus, yang membayar kebanyakan hak siaran, telah melakukan perkara yang sama.

Walau bagaimanapun, Al-Khelaifi telah diberikan mandat oleh Liga Perancis (LFP) bersama tiga presiden kelab lain untuk memimpin rundingan dengan Canal Plus dalam usaha untuk memujuk mereka supaya membayar.

Presiden syarikat yang telah membeli hak untuk menyiarkan perlawanan Ligue 1 mulai musim hadapan membidas Al-Khelaifi dalam temu bual yang diterbitkan kelmarin.

Nasser al-Khelaifi telah dituduh terlibat dalam konflik berkepentingan dalam pertikaian mengenai bayaran televisyen kepada kelab bola sepak Perancis yang menghadapi krisis kewangan dalam pandemik koronavirus. – AFP

“Saya tidak faham bagaimana Nasser boleh memimpin perundingan apabila dia adalah salah satu pihak yang berminat,” beritahu Jaume Roures dari kumpulan Mediapro Sepanyol kepada akhbar sukan L’Equipe.

“Ia tidak dapat difahami. Sikap Canal Plus dan BeIN terhadap liga adalah sama dengan sikap Nasser. Dia bukanlah parti ketiga yang muncul secara tiba-tiba.

BeIN menunda bayaran pendahuluan sebanyak 42 juta euro kepada LFP untuk hak penyiaran perlawanan. Ia berlaku selepas Canal Plus berkata mereka tidak akan membayar 110 juta euro pada bulan ini.

Wang yang dibayar dari Canal Plus mewakili 15 peratus daripada keseluruhan jumlah wang penyiaran untuk musim Ligue 1, dan termasuk 43 juta euro untuk perlawanan yang ditayangkan sebelum kempen digantung pada 13 Mac.

Mediapro, yang dimiliki oleh China, membeli sebahagian besar hak domestik untuk Ligue 1 untuk tempoh empat tahun bermula musim depan. Jumlah keseluruhan perjanjian dianggarkan 1.15 bilion euro setahun, dengan BeIN membayar sebahagian kecil jumlah tersebut.

Krisis adalah amat serius untuk kelab, yang dibiar tertanya-tanya apa yang akan berlaku sekiranya musim tidak disambung. – AFP