Pemilik pusat hiburan di Labuan disaran wujudkan SOP

LABUAN, 4 SEPT – Persatuan Pemilik-pemilik Pusat Hiburan Labuan dinasihati mewujudkan prosedur operasi standard operasi (SOP) perniagaan masing-masing sekiranya operasi mereka disambung semula pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata SOP harus dihantar kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan.

“Saya memahami keadaan yang dihadapi oleh industri hiburan, memandangkan banyak industri telah dibenarkan untuk beroperasi semula.

“Nasihat saya agar mereka mewujudkan SOP yang akan diteliti oleh MKN dan sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Sekiranya pengendali pusat hiburan dapat memberi jaminan bahawa kepatuhan sepenuhnya berdasarkan kepada SOP yang diterima akan berlaku, Annuar berkata mereka mungkin akan dibenarkan beroperasi semula.

“Pada asasnya, kerajaan mahu melihat semua sektor kembali normal tetapi pada masa yang sama, ia tidak boleh membiarkan keselamatan dan kesihatan rakyat terjejas,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Labuan. – Bernama