BALTIMORE, 5 FEB – Seorang pemilik restoran Baltimore yang menjalin hubungan kewangan dengan seorang wanita diraja Kuwait didapati bersalah menipu wanita itu dan kini diarah membayar lebih daripada AS$8 juta kepada wanita berkenaan.
Jean Agbodjogbe disabit bersalah pada Jumaat cuba menyembunyi dan memberikan gambaran yang salah tentang urusan perniagaannya dengan Alia Salem Al-Sabah demi kepentingannya sendiri, lapor The Baltimore Sun. Keputusan diumumkan semalam.
Al-Sabah ialah seorang kerabat diraja yang kaya di Kuwait. Bapanya ialah presiden pengawal negara, suaminya bekas menteri dalam negeri dan bapa saudaranya seorang pemimpin negara. Beliau melaporkan nilainya pada AS$24 juta. Wanita diraja itu melawat Amerika Syarikat pada Jun 2014 ketika salah seorang anak perempuannya menghadiri Universiti John Hopkins. Pada masa itu, beliau singgah di restoran halal Agbodjogbe, Nailah’s Kitchen.
Al-Sabah memesan makanan bernilai AS$10,000 daripada restoran itu untuk diberikan kepada jemaah di sebuah masjid sebagai amal jariah untuk bulan suci Ramadan. Perjanjian itu mencetuskan permulaan perkongsian di antara pemilik restoran dan wanita itu walaupun selepas beliau pulang ke Kuwait. – AP




























