Pemilik restoran didenda $2,000

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Seorang pemilik restoran telah dikenakan denda sebanyak $2,000 atas kesalahan di bawah Bab 37 dari Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 kerana melanggar kehendak dan syarat yang dikenakan di bawah perintah itu.

Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam kenyataannya menjelaskan bahawa pemilik Restoran Ismahana yang terletak di Blok G, Sufri Complex telah disabitkan salah oleh Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan, pada 25 Jun lalu.

Kenyataan menjelaskan bahawa pemilik restoran berkenaan membawa masuk makanan yang diragui kehalalannya ke dalam premis iaitu tiga bungkusan sayap ayam jenama Rose seberat dua kilogram dan setengah bungkus sayap ayam jenama Rose seberat 1 kilogram.

Bungkusan-bungkusan sayap ayam itu didapati dalam premis syarat semasa pegawai-pegawai penguat kuasa Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah membuat pemantauan ke atas premis syarikat berkenaan.

Sehubungan dengan itu, setiap syarikat yang telah diberikan Sijil Halal dan Permit Halal oleh Majlis Ugama Islam Brunei diingatkan untuk sentiasa mematuhi kehendak dan syarat termasuk Piawaian Brunei Darussalam untuk Makanan Halal PBD24:2007 serta garis panduan yang telah ditetapkan.

Kenyataan menekankan, Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal akan sentiasa menjalankan audit pemantauan dari semasa ke semasa ke atas syarikat-syarikat yang telah diberikan Sijil Halal atau Permit Halal untuk memastikan kehendak dan syarat sentiasa dipatuhi oleh pemegangan sijil atau permit serta bagi menjaga pemakanan halal di negara ini.