Pemilik senjata disaran beli insurans mandatori

SAN FRANCISCO, 13 OGOS – Datuk Bandar San Jose, Sam Liccard, kelmarin, mendedahkan satu cadangan bersejarah yang mengehendaki pemilik senjata api membeli insurans liabiliti atau membayar fi untuk meliputi kos insiden bagi mengekang keganasan berkaitan jenayah senjata api, lapor agensi berita China Xinhua memetik media Amerika Syarikat.

Liccardo menyarankan langkah ‘pengurangan kerosakan’ itu kepada Majlis Bandaraya dengan meminta pemilik senjata api di bandar itu sama ada membeli insurans atau membayar pampasan kepada ‘pembayar cukai bagi kos awam keganasan senjata api di bandar ke-10 terbesar di Amerika tersebut’. Cadangan itu dibuat beberapa minggu selepas insiden tembakan rambang besar-besaran yang meragut tiga nyawa termasuk dua kanak-kanak di sebuah pesta bawang putih tahunan di bandar Gilroy yang terletak di selatan Lembah Silikon pada 28 Julai.

Liccardo berkata ideanya timbul daripada undang-undang kenderaan California yang menghukum sebarang salah laku penggunaan sebuah kenderaan tanpa insurans.

“Kita mensyaratkan pemandu membawa insurans automobil, dan industri insurans secara wajar menggalakkan dan memberi ganjaran kepada pemandu yang memiliki tingkah laku selamat,” katanya. Beliau mengakui bahawa ordinan yang dicadangkan itu adalah jauh daripada satu penyelesaian penuh kepada keganasan berkaitan senjata api, namun ia akan membantu mengurangkan kerosakan akibat penyalahgunaan senjata api tanpa menunggu Kongres mengambil tindakan. – Bernama