Pemimpin Abu Sayyaf ditahan

TAWAU, 14 OGOS – Penjenayah Filipina iaitu Sub-Komander Abu Sayyaf, Idang Susukan yang bertanggungjawab memenggal kepala rakyat Malaysia Bernard Then Ted Fen pada November 2015, ditahan polis Filipina semalam.

Idang atau nama sebenarnya Abduljihad Susukan ditahan pada 8.30 malam, di rumah pemimpin Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF) Nur Misuari di Davao City.

Idang antara 21 warga Filipina disenaraikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sebagai penjenayah dikehendaki di Malaysia berhubung kes-kes penculikan untuk wang tebusan (KFR) di pantai timur Sabah.

Komander ESSCom Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan pemimpin Abu Sayyaf itu. – Bernama