Pemimpin APEC kerjasama wujud perniagaan bebas

KUALA LUMPUR, 22 NOV – Pemimpin dari forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, berjanji akan bekerjasama ke arah pewujudan perniagaan dan pelaburan bebas, terbuka dan tanpa diskriminasi untuk memulihkan ekonomi mereka yang terjejas oleh koronavirus.

Para pemimpin mengetepikan perbezaan mereka untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama pertama sejak 2017, di mana mereka bersetuju untuk mempertingkat integrasi serantau dengan berusaha ke arah pemeteraian perjanjian perdagangan bebas yang membabitkan 21 ekonomi APEC.

Hos sidang kemuncak pada tahun ini, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin, memberitahu sidang akhbar bahawa perang perniagaan AS-China yang telah menghambat rundingan sebe-lumnya ‘telah disurami’ oleh pandemik COVID-19.

Dengan pertumbuhan di rantau Asia-Pasifik dijangka meleset 2.7 peratus pada tahun ini, daripada pertumbuhan 3.6 peratus pada 2019, beliau berkata tumpuan APEC adalah untuk mempercepat pemulihan ekonomi dan membangunkan vaksin yang mampu dimiliki.

“Risiko kesihatan dan impaknya ke atas ekosistem ekonomi global telah menjadi agenda utama semua ekonomi APEC pada tahun ini,” menurut beliau.

APEC, dengan anggotanya menyumbang kepada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global, juga telah ‘berjanji akan mengelak daripada mengamalkan langkah perlindungan demi mengekalkan pasaran dan sempadan mereka sentiasa terbuka,” tambah beliau.

Presiden China Xi Jinping, dalam kata-kata beliau, menggesa negara-negara di rantau supaya ‘mempertahankan fahaman multilateralisme’ dan menyeru penubuhan ‘zon perdagangan bebas Asia Pasifik pada tarikh awal.’

Beliau beritahu mesyuarat bahawa Beijing juga akan ‘menimbang’ untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Rentas Pasifik, perjanjian perdagangan yang termasuk Jepun, Kanada, Mexico dan ekonomi serantau lain tetapi bukan AS. – AP

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin (meja kiri), menghadiri pembukaan sidang kemuncak pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) secara maya di Kuala Lumpur, Malaysia pada 20 November 2020. – AP