JAKARTA, INDONESIA, 25 APRIL – Pemimpin Asia Tenggara menggesa ketua tentera Myanmar untuk menghentikan segera pembunuhan ke atas penunjuk perasaan dan melepaskan tahanan politik dalam sidang kemuncak darurat kelmarin dengan jeneral tertinggi dan pemimpin kudeta, menurut perdana menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin.
Para pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara juga memberitahu Jeneral Min Aung Hlaing dalam perbincangan dua jam di Jakarta bahawa dialog antara pihak-pihak yang bertikai di Myanmar harus segera dimulakan, dengan bantuan utusan-utusan ASEAN.
“Situasi di Myanmar tidak dapat diterima dan tidak boleh berlanjutan. Keganasan harus dihentikan dan keamanan di Myanmar harus segera dikembalikan,” kata Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam pertemuan itu.
“Kepentingan rakyat Myanmar perlu menjadi keutamaan.”
Insiden tembakan yang dilepaskan oleh polis dan tentera sejak rampasan kuasa 1 Februari telah mengorbankan lebih daripada 700 penunjuk perasaan, menurut saksi. Mesej yang disampaikan kepada Min Aung Hlaing tidak jelas dan dapat dilihat sebagai pelanggaran terhadap prinsip dasar blok 10 negara konservatif yang melarang negara anggota untuk campur tangan dalam urusan satu sama lain.
Tetapi Perdana Menteri Malaysia berkata bahawa dasar itu tidak boleh digunakan jika situasi domestik membahayakan keamanan dan kestabilan ASEAN dan wilayah yang lebih luas dan terdapat desakan antarabangsa untuk tindakan tegas. – AFP