Pemimpin belia digalakkan buat perubahan masa hadapan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Lebih 300 peserta termasuk 55 orang dari Negara Brunei Darussalam telah mengikuti Konvensyen Pekerjaan Belia (YEM) yang berlangsung secara maya selama dua hari hingga hari ini.

Konvensyen berkenaan merupakan salah satu projek peserta belia daripada Persidangan Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun 2021 untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kerja baik dalam menggalakkan pemimpin belia yang lebih berpengetahuan dan empatetik untuk membuat perubahan bagi masa depan dengan menangani isu-isu dan cabaran, menggalakkan dialog Jepun-ASEAN dan menyediakan peluang-peluang rangkaian.

Konvensyen YEM telah dibukakan kepada para peserta di seluruh Jepun dan negara-negara ASEAN dan dimuatkan dengan pelbagai siri bengkel, forum, rangkaian dan bimbingan.

Para peserta dari Brunei melibatkan penyertaan dari persatuan tempatan terdiri daripada Majlis Belia Brunei (MBB), Global Shapers Community Bandar Seri Begawan (GSCBSB) dan Rangkaian Profesional Muda (YPN).

Pada hari pertama, selepas perasmian, konvensyen diisikan dengan siri perbincangan bertemakan Career 101: Improving Your Long Term Prospects yang menampilkan Pengarah Sumber Tenaga Manusia, Syarikat Minyak Brunei Shell, Hajah Zainab M A Omar yang berkongsi pandangannya.

Antara peserta yang hadir menyertai Konvensyen Pekerjaan Belia (YEM) yang berlangsung secara maya selama dua hari.

Sementara itu, pada sebelah petang Konvensyen diikuti dengan bengkel mengenai Making a Mark in the New Normal yang diketuai oleh Mark Jacinto dari Filipina.

Siri perbincangan kedua pula mengenai Trends & Shifts: Preparing for New Paradigms of Works yang disusuli dengan dua tajuk bengkel iaitu Finding the Intrapreneur in You dan Being A Digital INTRApreneuer yang disampaikan oleh Pamela Nicole Mejia dari Filipina dan Saiful Hidayat dari Indonesia.

Manakala, pada hari kedua pula diteruskan dengan siri perbincangan ketiga bertajuk Work Culture: Adapting and Working in the New Normal yang dikendalikan oleh wakil-wakil dari YPN, MBB dan GSCBSB.

Selain itu, konvensyen turut diserikan dengan bengkel bertajuk Why Digital Nomads Are Winning During This Pandemic?, siri perbincangan Employer-Employee: Leading and Building Relationships in the Workplace dan bengkel penutup bertajuk The Universal Skills of Our Future.

Menerusi konvensyen berkenaan, para peserta juga berpeluang untuk berinteraksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, membina rangkaian yang lebih luas merentasi Jepun dan negara-negara ASEAN.

Sehubungan itu, Konvensyen YEM juga bakal mengadakan pelbagai sesi bimbingan kerjaya dalam pelbagai industri pada April nanti yang akan diketuai oleh Nadia Aji dari YPN Brunei.