Pemimpin dunia kritik respons pandemik

NEW YORK, 24 SEPT – Pemimpin dunia yang berkumpul secara maya semalam mengkritik respons dunia terhadap virus yang telah mencetuskan krisis ekonomi dan membunuh hampir 1 juta nyawa di seluruh dunia. Dalam kata-kata presiden Kazakhstan, ia merupakan ‘keruntuhan kritikal kerjasama global.’

“Dunia kami telah menjadi tunggang-balik,” kata presiden Ghana, Nana Akufo-Addo. “Kami semua jatuh bersama dan melihat ke dalam jurang yang amat dalam bersama.”

Pandemik koronavirus dan kesannya menjadi isu utama dalam senarai kebimbangan pada hari kedua ucapan yang dirakam lebih awal oleh para pemimpin dunia pada mesyuarat maya pertama Perhimpunan Agung. Negara kecil dan besar berkongsi mengenai pergelutan mereka untuk mengatasi kesannya tanpa penyelarasan antarabangsa.

Rayuan kepada dunia supaya bekerjasama memerangi masalah tersebut telah menjadi topik utama yang dibincangkan pada perhimpunan PBB minggu ini.

“Satu pandemik berdasarkan definisi merupakan cabaran global’ dan memerlukan respons global, namun COVID-19 ‘malangnya telah mendedahkan mengenai kecenderungan kami bertindak terhadap ancaman itu – di dalam dan luar negara,” kata presiden Finland Sauli Niinisto.

Menurut beliau, ‘kami telah menyaksikan beberapa siri respons nasional dan bukannya bersatu padu di sebalik usaha berbilang pihak untuk mengatasi virus tersebut, yang menimbulkan kebimbangan bagaimana kami berupaya memerangi cabaran global lain.’

Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev mengingatkan bahawa dunia ‘semakin hampir mengalami apa yang digelar oleh sesetengah sebagai ‘kegagalan fungsi global’ berpunca daripada pandemik, dan sistem global kini ‘hampir-hampir mengalami gangguan dramatik yang mungkin membawa kepada kesan teruk yang tidak dapat dipulihkan.’

“Sekarang merupakan saat berjaya atau pun gagal untuk manusia,” beliau mengingatkan. – AP

Gambar yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, perutusan Presiden Bosnia dan Herzegovina Sefik Dzaferovic yang dirakam lebih awal disiarkan semasa sesi ke-75 Perhimpunan Agung PBB di ibu pejabat PBB di New York pada 23 September. – AP