Pemimpin Korea U, China ikrar perkukuh hubungan

SEOUL, KOREA SELATAN, 11 JULAI – Pemimpin Korea Utara dan China melalui perutusan masing-masing, hari ini telah menyatakan hasrat mereka untuk mengukuhkan lagi hubungan antara ke-dua negara tersebut bersempena dengan ulang tahun perjanjian pertahanan Korea Utara dan China ke-60 tahun.

Dalam perutusannya kepada Presiden China, Xi Jinping, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengatakan kerajaannya akan berusaha untuk terus mengukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua negara berkenaan, kata Agensi Pusat Berita Korea yang dikendalikan negara itu.

Xi mengatakan dalam perutusanya bahawa China dan Korea Utara saling menyokong antara satu sama lain, menurut Agensi Berita rasmi China, Xinhua.

“Dunia baru-baru ini menyaksikan perubahan pantas yang belum pernah terjadi sebelumnya sejak abad yang lalu,” kata Xi.

“Saya ingin… melihat hubungan antara kedua negara agar terus kukuh ke tahap baharu demi kepentingan kedua negara dan penduduk.”

Dalam hubungan itu, Korea Utara mengharapkan agar mendapat sokongan yang lebih besar dari China, sekutu utamanya, tatkala ia menghadapi kesulitan ekonomi yang diperburukkan lagi oleh wabak koronavirus dan sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas program senjata nuklearnya.

China, daripada pihaknya, melihat bahawa mencegah ekonomi Korea Utara daripada lumpuh adalah sangat penting bagi kepentingan keselamatannya dan China perlu meningkatkan hubungan dengan Korea Utara dan sekutu lama lainnya di tengah persaingan sengit dengan AS, kata beberapa pakar.

Kim dalam perutusannya mengatakan bahawa perjanjian dua hala itu “menunjukkan daya kehidupan yang lebih kukuh dalam mempertahankan dan mendorong perjuangan sosialis kedua-dua negara.”

Di bawah Perjanjian Persahabatan, Kerjasama dan Hubungan Bantuan 1961, Korea Utara dan China berkomitmen untuk saling memberikan bantuan ketenteraan dan bantuan lain sekiranya berlaku serangan. – AP

Gambar fail pada 20 Jun 2019 menunjukkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un bergambar bersama Presiden China, Xi Jinping di Pyongyang, Korea Utara. – AP