MOSCOW, 12 SEPT – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un tiba di Rusia hari ini menjelang pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin yang mana Amerika Syarikat telah mendakwa bahawa perjanjian senjata untuk menyokong serangan Moscow ke atas Ukraine bakal dimeterai.
Membuat perjalanan ke luar negara yang jarang berlaku dan yang pertama sejak pandemik, Kim yang tidak tersenyum dilihat melambai dari pintu kereta api persendiriannya ketika ia berlepas dari Pyongyang pada petang Ahad, menurut imej yang diterbitkan oleh media negara Korea Utara.
Kim akan bertemu Putin di lokasi yang tidak dinamakan di wilayah Timur Jauh Rusia akhir minggu ini, menurut jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.
Putin kini menghadiri Forum Ekonomi Timur di Vladivostok, bandar yang paling hampir dengan sempadan Korea Utara, walaupun tiada tanda-tanda bahawa kedua-dua pemimpin negara itu akan mengadakan perbincangan mereka di sana.
Pakar berkata Moscow berkemungkinan akan mendapatkan peluru artileri dan peluru berpandu antikereta kebal dari Korea Utara, yang mahukan teknologi satelit canggih dan kapal selam berkuasa nuklear sebagai balasan.
Rumah Putih memberi amaran minggu lalu bahawa Korea Utara akan ‘mendapat balasan’ jika ia membekalkan Rusia dengan senjata untuk konflik di Ukraine.
Menentang amaran itu, Kim meninggalkan Korea Utara ke Rusia pada Ahad, menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Beliau ditemani pegawai tinggi tentera Korea Utara, termasuk pegawai yang bertanggungjawab dalam pengeluaran senjata dan teknologi angkasa lepas, tambahnya.
Peskov berkata kedua-dua pemimpin itu akan ‘bekerjasama dalam bidang sensitif yang tidak sepatutnya menjadi subjek pendedahan dan pengumuman awam’. – AFP
