Pemimpin Korea Utara agih bantuan makanan, perubatan

SEOUL, 9 OGOS – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengarahkan pengagihan bantuan kepada bandar Kaesong di sempadan negara itu, selepas ia dikenakan perintah berkurung bulan lalu, bagi melawan COVID-19, menurut media negara itu.

Pihak berkuasa menaikkan peringkat kecemasan di bandar itu ke tahap maksimum bulan lalu, memaklumkan mereka mengesyaki penemuan kes pertama virus itu di Korea Utara.

Kereta api yang membawa barangan tiba di bandar Kaesong yang disekat sepenuhnya Jumaat lalu, lapor agensi berita rasmi KCNA.

“Pemimpin Agung sudah memastikan tindakan kecemasan dilaksanakan bagi menyalurkan bekalan makanan dan perubatan selepas bandar itu disekat sepenuhnya dan kali ini, banyak beras dan subsidi di hantar ke bandar itu,” lapornya. Media rasmi Korea Utara itu turut melaporkan, Jong Un bimbang ‘pada siang dan malam’ mengenai penduduk Kaesong ketika mereka meneruskan ‘kempen memeriksa penularan virus itu’. – AFP