Pemimpin Lubnan dikecam, laksana reformasi

BEIRUT, 7 OGOS – Barisan kepimpinan pentadbiran Lubnan dikecam hebat semalam oleh rakyat negara itu yang marah, selain didesak keras melakukan reformasi oleh Presiden Perancis dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ia susulan insiden letupan besar sehingga menghancurkan sebahagian besar pusat bandar Beirut.

Kesedihan bertukar kemarahan di negara yang sedang ‘trauma’ di mana sekurang-kurangnya 150 orang maut dan lebih 5,000 cedera dalam letupan besar-besar Selasa lalu, berpunca daripada bahan ammonia nitrat yang disimpan bertahun-tahun di gudang pelabuhan.

Buat kebanyakan rakyat Lubnan, insiden itu adalah bukti tragis yang menggambarkan betapa teruknya sistem pemerintah negara itu yang gagal menghentikan krisis ekonomi terburuk sejak perang saudara pada 1975 hingga 1990 sehingga mengheret jutaan orang ke lembah kemiskinan.

Media negeri melaporkan lewat semalam bahawa anggota keselamatan menembak gas pemedih mata di tengah Beirut untuk meleraikan puluhan penunjuk perasaan antikerajaan yang marah dengan letupan tersebut.

Beberapa orang dalam bantahan kecil mengalami kecederaan, lapor Agensi Berita Nasional. – AFP